HomeIsu tempatanMasyarakat perlu berubah dalam membudayakan kebersihan, penjagaan alam sekitar

Masyarakat perlu berubah dalam membudayakan kebersihan, penjagaan alam sekitar

Read Time:1 Minute, 34 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Masyarakat perlu berubah ke arah kehidupan yang membudayakan kebersihan dan penjagaan alam sekitar bagi menjadikan bandaraya bersih, hijau dan berdaya huni.

Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip berkata, hasrat bagi menjadikan bandaraya sebuah kawasan bersih tidak cukup dengan penyediaan infrastuktur, kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.

“Pengabaian kepada kebersihan akan mengundang masalah jika pengurusan sisa pepejal ini tidak diuruskan dengan baik.

“Masalah pembuangan sisa pepejal tidak ada penghujungnya. Manusia merupakan punca kepada penghasilan dan pembuangan sisa pepejal tidak kira di mana mereka berada dan akan menjadi bertambah serius jika penghasilan sampah ini berlaku di kawasan-kawasan rekreasi dan peranginan.

“Kawasan ini sepatutnya perlu dijaga dan dikekalkan keistimewaannya sebagai tempat untuk beriadah, menenangkan fikiran dan menikmati keindahan alam semula jadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program KK Cleanup Day : Suria Sabah dan Pelancaran Kempen Bulan Kesedaran ‘My City, My Responsibility’ 2.0 di sini baru- baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu Junainah Abbie.

Noorliza berkata, inisiatif pelaksanaan program itu juga dapat mendidik masyarakat bandaraya Kota Kinabalu supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan dan menjadikan bandaraya sebuah bandaraya bersih, hijau dan berdaya huni.

Katanya, kempen ini bertepatan sekali dengan iltizam Kerajaan Negeri untuk menggerakkan Inisiatif Teras Elemen – Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat dalam kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya, dan berada dalam landasan agenda pembangunan nasional di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. 

“Setiap daripada kita  bertanggungjawab untuk mengurangkan kesan pengabaian kebersihan dan alam sekitar ini.

“Agenda ini tidak akan mampu dicapai tanpa penglibatan semua pihak termasuklah kerajaan, pihak swasta, badan bukan kerajaan dan segenap lapisan masyarakat.

“Bermula dengan sekecil-kecil tindakan dengan menghijaukan persekitaran kediaman kita, mendidik anak-anak untuk amalkan budaya kebersihan dan mencintai alam sekitar. Kita tidak buang sampah merata-rata, kita tidak cemarkan sungai kita,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Pesta Kaamatan pemangkin kepada ekonomi masyarakat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular