HomeUtamaAnwar, Hajiji ucap takziah kepada keluarga Abdul Ghapur

Anwar, Hajiji ucap takziah kepada keluarga Abdul Ghapur

Read Time:1 Minute, 50 Second

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini

Kota Kinabalu : Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh yang meninggal dunia jam 12.07 tengah malam tadi.

Anwar menerusi hantaran di akaun Facebooknya berkata, jasa dan pengorbanan ahli politik veteran Sabah itu kepada negara dan negeri Sabah akan sentiasa dikenang buat selamanya.

“Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh,” tulisnya menerusi hantaran itu di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut mengucapkan takziah dan berkesempatan menziarahi jenazah di Masjid Jamek Kampung Likas sejurus selesai merasmikan Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara Dalam Timbang Tara Komersial bagi edisi Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

“Perginya Sahabat Seperjuangan. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh. Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmat-Mu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah dia.

“Semoga Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat keredhaan Allah S.W.T.  Sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat Allahyarham,” menurutnya dalam hantaran di akaun Facebooknya.

Terdahulu, jenazah bekas Ahli Parlimen Kalabakan itu selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas, di sini, sebelum tengah hari tadi.

Bekas Ketua UMNO Kalabakan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu dilaporkan meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi di Hospital Gleneagles, di sini pada usia 80 tahun.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa balik ke kediamannya di sini untuk dimandi dan disembahyangkan pagi tadi, sebelum dibawa ke Masjid Jamek Kampung Likas untuk solat jenazah kedua dan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas pada kira-kira jam 10 pagi tadi.

Sepanjang hayatnya, Abdul Ghapur pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai sejak 1985 sebelum berpindah ke kerusi Parlimen Kalabakan pada 2004 yang baru diwujudkan pada masa itu dan mendudukinya sehingga 2018.

Karier politiknya bermula di bawah Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (BERJAYA) sebelum menyertai UMNO ketika parti itu melebarkan sayap ke Sabah pada 1990.

Abdul Ghapur kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah pada 1995 hingga 1997 ketika Barisan Nasional (BN) kembali menguasai kerajaan negeri betikutan kejatuhan kerajaan Parti Bersatu Sabah (PBS). – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
EkonomiUtama

Capital A Hantar Pelan Pemulihan kepada Bursa Malaysia untuk Keluar dari...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular