LABUAN: Seorang kanak-kanak perempuan ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat 10 bangunan apartment Ganggarak Permai dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah W.P. Labuan Superintenden Ahmad Jawila berkata, pihak polis telah menerima maklumat pada jam 5.28 pagi tadi (4 Julai) mengenai mayat seorang kanak-kanak perempuan berada di tingkat 1 bangunan di sebuah apartment Ganggarak Permai di sini.
“Siasatan awal polis mendapati kanak-kanak berusia 12 tahun itu adalah warga tempatan yang tinggal di tingkat 10 bangunan berkenaan dan dipercayai telah terjatuh dari bahagian tepi bangunan berpagar berdekatan dengan lif apartment tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Ahmad, Pegawai Perubatan telah hadir di lokasi kejadian pada jam kira-kira 7.42 pagi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Labuan dan diserahkan ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat.
“Siasatan awal polis mendapati tidak menemui sebarang unsur
jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR),” katanya.
Sehubungan dengan itu, pihak polis memohon orang ramai yang melihat kejadian ini untuk tampil memberi
maklumat di mana-mana balai polis berdekatan atau berhubung dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan di talian 087-412222.