Kota Kinabalu : Gol minit akhir pemain import baharu Sabah FC Ramon Machado De Macedo berjaya membantu skuad Badak menewaskan Kuching City FC 4-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas petang tadi.
Ramon berjaya membantu Sabah FC menjaringkan dua gol pada minit ke-27 dan minit ke-93 perlawanan.
Sabah FC terlebih dahulu berada di hadapan pada minit ke-12 selepas pemain import dari Indonesia Saddil Ramdani berjaya menyudahkan sepakan percuma menjadikan kedudukan berubah 1-0.
Bermain dengan keadaan padang yang basah akibat hujan, tuan rumah terus menambah gol hasil tandukan Ramon pada minit ke-27 selepas menerima bola hantaran lintang Saddil bagi membolehkan Sabah FC mendahului 2-0 pada babak pertama.
Tamat masa rehat, pasukan pelawat tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol pertama menerusi jaringan Amir Amri Salleh pada minit ke-55 selepas berlaku kelam kabut dalam kawasan tuan rumah menjadikan kedudukan 2-1.
Tiga minit berselang, Sabah berjaya menambah gol ketiga menerusi rembatan kencang Stuart Wilkin pada minit ke-58 selepas menerima tolakan bola dari Saddil menjadikan Sabah terus mendahului 3-1.
Pemain import Kuching City, Abu Kamara berjaya menambah gol kedua pasukan pelawat pada minit ke-67 selepas berjaya memperdayakan pertahanan tuan rumah.
Kamara sekali lagi berjaya menjaringkan gol ketiga Kuching City FC pada minit ke-86 menjadikan kedudukan seri 3-3.
Bagaimanapun Sabah FC tidak mensia-siakan masa tambahan yang diberikan pengadil perlawanan apabila berjaya memperoleh gol keempat menerusi jaringan Ramon pada minit ke-93 perlawanan selepas menerima bola tolakan Mohd Amri Yahyah.
Kedudukan 4-3 kekal sehingga tamat perlawanan menjadikan Sabah FC naik ketangga keempat dengan mengutip 30 mata. – SABAH MEDIA