SANDAKAN: Seramai 75 orang menyertai Pertandingan Santai Kolam Titanic Kampung Liningkung, Telupid dekat sini baru-baru ini.
Program tersebut merupakan anjuran Gagasan Rakyat bahagian Telupid dan dilancarkan oleh Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.
Redonah berkata memancing ikan memerlukan kesabaran yang tinggi selain dengan hobi memancing juga diharap dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara ahli-ahli Gagasan Rakyat dengan masyarakat setempat di Kampung Liningkung.
“Program ini amat unik di mana selain beramah mesra dengan ahli-ahli Wanita Gagasan Rakyat bahagian Telupid turut diadakan acara spontan iaitu pelancaran Pertandingan Memancing di Kolam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelepasan Pertandingan Memancing diadakan di Kolam Santai Titanic milik Ketua bahagian Gagasan Rakyat Telupid, Pinus Gondili.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian, Pinus Gondili, Timbalan Ketua Bahagian, Warday Tuahan, Ketua Wanita Gagasan Rakyat Telupid, Aneh Jamri, serta ahli jawatankuasa bahagian Telupid dan ahli jawatankuasa Wanita Gagasan Rakyat Telupid.