Kota Kinabalu : Pasukan bola sepak lelaki Bandaraya Kota Kinabalu akan melakukan yang terbaik dalam menghadapi temasya Sukan Sabah (SAGA) Edisi Ke-10 di sini pada Disember depan.
Pengurus pasukannya, Lokman Sunggim berkata, pembentukan pasukan yang baik dan mampu bersaing perlu selaras dengan giliran Kota Kinabalu sebagai tuan rumah temasya sukan itu pada tahun ini.
“Ketika ini, kami sedang menyediakan pasukan tersebut dan berharap dapat melakukan persiapan rapi sebaik sahaja sesi pemilihan pemain berakhir,” katanya ketika ditemui selepas sesi pemilihan pemain di padang Penjara di sini, semalam.
Turut hadir menyaksikan sesi pemilihan itu ialah Timbalan Presiden II SAFA Bandaraya yang juga ketua jurulatih, Matasan Ahmad dan Naib Presiden SAFA Bandaraya, Juraidah Abdul Rahim.
Lokman berkata, jurulatih pasukan, Roslan Wasli dalam proses untuk memuktamadkan senarai akhir pemain untuk diserapkan dalam pasukan.
Bagaimanapun, beliau perlu membuat saringan dan menyenarai pendek pemain berikutan kira-kira 100 orang telah menyertai sesi pemilihan tersebut.
“Kehadiran pemain dari sekitar Kota Kinabalu sangat memberangsangkan kali ini dan ini membolehkan jurulatih dapat mengenal pasti pemain-pemain terbaik dan berkualiti,” katanya.
Lokman menambah, sebaik senarai pemain dalam pasukan dimuktamadkan, jurulatih akan menetapkan latihan secara intensif dilakukan dalam masa terdekat.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada SAFA Bandaraya di atas kepercayaan yang diberikan kepada pegawai pengurusan dan kejurulatihan pasukan SAGA Bandaraya Kota Kinabalu.
Sementara itu, pasukan wanita Bandaraya Kota Kinabalu bagi menghadapi SAGA ke-10 sudah selesai mengadakan pemilihan pemainnya di padang TABS SAFA Bandaraya pada Sabtu lepas.- SABAH MEDIA