HomeUtamaESSCOM komited banteras penyalahgunaan pambot

ESSCOM komited banteras penyalahgunaan pambot

Read Time:1 Minute, 30 Second

Tawau : Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) komited untuk terus menguatkuasakan dan membanteras penyalahgunaan pambot dan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ke negeri ini.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, ia termasuklah kesalahan-kesalahan lain yang boleh mengancam keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).

Katanya, susulan dari itu, pihaknya telah melaksanakan Operasi Gasak Laut (Pambot) di sekitar perairan sepanjang Batu 3 sehingga Batu 5, Tawau bagi membendung penyalahgunaan pambot yang sering digunakan penjenayah rentas sempadan.

“Hasil operasi yang dilaksanakan secara bersepadu antara agensi penguatkuasaan dan keselamatan menyaksikan sebanyak 13 buah pambot telah diperiksa melibatkan seramai 26 orang individu.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima buah pambot dirampas dan diserahkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) manakala seramai empat orang PATI ditangkap dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Tawau atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Victor berkata, pihaknya amat memandang serius berhubung perkara itu dan Operasi Gasak Laut (Pambot) yang menyasarkan pemeriksaan secara besar-besaran, menahan dan melupuskan pambot tanpa lesen ini dilihat berupaya melumpuhkan mobiliti kegiatan Jenayah Rentas Sempadan terutamanya aktiviti penyeludupan dan PATI.

Selain itu katanya, kehadiran pasukan keselamatan secara terkoordinasi juga akan mewujudkan elemen cegah rintang dalam menentukan keselamatan dan kesejahteraan perairan Tawau khasnya.

“Justeru, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi baik Persekutuan mahupun negeri atas kerjasama menjayakan Op Gasak Laut kali ini.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan kepada semua pemilik pambot di perairan ESSZone supaya mendapatkan lesen secara sah bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Victor turut menyeru kepada seluruh masyarakat di ESSZone agar terus membantu ESSCOM dengan melaporkan segera sekiranya terdapat aktiviti penyalahgunaan pambot ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi Whatsapp di talian 011-63311072. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular