Menumbok : Orang ramai sekitar daerah ini khususnya para pelajar, bekas guru dan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Menumbok dipelawa untuk memeriahkan Sambutan Jubli Emas sekolah berkenaan pada 12 Ogos ini.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Menumbok Abd Rahman Taib berkata, sambutan yang akan dilaksanakan selama tiga hari bermula 10 Ogos itu akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti dan pameran.
“SMK Menumbok merupakan satu-satunya sekolah menengah yang terdapat di daerah kecil Menumbok dan telah mula beroperasi pada 1972 dengan menumpang di bangunan sekolah rendah Menumbok pada ketika itu.
“Pada tahun 1994, sekolah ini mula beroperasi di bangunan sendiri yang terletak di kampung Mempakul sehingga kini dan sudah pasti, program ini bertujuan untuk memupuk budaya ‘giving back to school’ disamping meraikan ulang tahun ke 50 tahun sekolah,” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini hari ini.
Abd Rahman yang juga Pengerusi Bersama sambutan berkata, penganjuran program ini diyakini dapat memangkin penghasilan individu yang holistik, selaras dengan falsafah pendidikan kebangsaan dengan menaik taraf infrastuktur sekolah.
Katanya, program itu juga mampu memantapkan lagi akademik dan potensi pelajar khususnya di daerah ini.
“Antara program yang akan dilaksanakan adalah seperti ceramah, forum, kenduri kesyukuran, aktiviti sukan, saringan pertandingan suara emas, pentas budaya dan suara burung murai.
“Acara kemuncak sambutan pada 12 Ogos itu nanti juga akan turut diadakan makan malam amal dan bagi mereka yang ingin menyalurkan sumbangan bagi memeriahkan sambutan boleh menyalurkan sumbangan kepada akaun PIBG SMK MENUMBOK (1210441100049901) Bank Simpanan Nasional,” katanya.
Tambahnya, sebarang pertanyaan berhubung sambutan dan sumbangan bolehlah menghubungi 016-4417054. – SABAH MEDIA