Kota Kinabalu : Sabah FC hari ini mengumumkan Ketua Pasukan Baddrol Bakhtiar akan mengundurkan diri dari pasukan itu atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Sabah FC petang tadi, Baddrol juga akan meninggalkan peranannya sebagai Ketua Pasukan dan tidak lagi bersama pasukan sepanjang baki saingan Ligga Malaysia musim ini.
“Keputusan ini diambil melalui persetujuan bersama Baddrol Bakhtiar, atas sebab yang akan diumumkan dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Sabah FC turut memaklumkan beliau akan sentiasa menjadi legenda di Sabah FC dan segala komitmen, dedikasi, semangat dan motivasi yang diberikan sepanjang bermain bersama Sabah FC dan seterusnya menerajui Sabah ke AFC Cup 2023 akan sentiasa dikenang.
“Dengan keseluruhan 41 penampilan dan 13 gol, tempatnya dalam sejarah kelab akan sentiasa terjamin. Nama Baddrol Bakhtiar juga akan terpahat sebagai lagenda di Arena Bolasepak Malaysia,” tambah kenyataan itu lagi.
Sabah FC turut mengucapkan selamat maju jaya dan mendoakan kejayaan dalam apa jua bidang yang beliau ceburi.
“Kami sentiasa mengalu-alukan Baddrol Bakhtiar kembali ke Sabah FC sebagai keluarga pada masa hadapan,” tambah kenyataan itu.
Penyerang berumur 35 tahun yang juga bekas pemain kebangsaan itu menyertai Sabah FC sejak akhir 2021 selepas meninggalkan Kedah Darul Aman FC.
Baddrol dijangka tampil kali terakhir pada perlawanan menentang Sri Pahang FC di Stadium Likas, malam esok. – SABAH MEDIA