HomeIsu tempatanKarnival BKD perkasa warisan budaya Kadazandusun

Karnival BKD perkasa warisan budaya Kadazandusun

Read Time:2 Minute, 34 Second

Kota Belud : Karnival Bahasa Kadazandusun (BKD) diyakini akan dapat memperkasakan warisan bahasa dan budaya Kadazandusun agar tidak pupus ditelan zaman.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, beliau mahu skala penganjuran karnival itu pada tahun depan diperluaskan lagi untuk menarik penyertaan lebih banyak daripada sekolah-sekolah rendah dan menengah yang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran BKD di sekolah.

Beliau juga berharap pengisian atau acara sempena Karnival BKD pada masa akan datang dapat ditambah untuk memeriahkan lagi sambutan itu.

“Tahniah kepada pihak penganjur atas kejayaan menganjurkan Karnival BKD ke-10 setelah tiga tahun tertunda akibat pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP). Sambutan kali ini sangat meriah dan sesuatu yang sentiasa dinanti-nantikan.

“Karnival BKD ini penting dalam usaha memperkasa pengajaran dan pembelajaran BKD yang kini diajar bukan sahaja di peringkat sekolah tetapi di institut pengajian tinggi.

“Kehadiran saya pada pagi ini adalah untuk menyatakan komitmen saya dan pimpinan Kerajaan Perpaduan melengkapkan usaha dan inisiatif yang diambil oleh guru-guru yang terlibat dalam pengajaran BKD,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival BKD, di Dewan SMK Narinang, di sini, hari ini.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, walaupun BKD diajar di sekolah namun penganjuran program-program di luar kelas juga penting untuk memastikan mereka bukan setakat mempelajari bahasa tetapi memahami lebih mendalam budaya masyarakat itu.

“Sekiranya tiada program yang boleh memberi pendedahan dan kesedaran kepada pelajar sekolah kepentingan memulihara bahasa dan budaya, kita bimbang lama-kelamaan generasi muda tidak lagi mengenal budaya mereka termasuk tidak dapat menguasai bahasa ibunda sendiri. 

“Saya juga berharap agar semua guru dan ibu bapa terus berganding bahu memperkasakan dan memelihara seni, budaya dan warisan bangsa yang kita miliki supaya dapat diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata, selain Karnival BKD yang dianjurkan Majlis Guru-Guru Bahasa Kadazandusun, persatuan-persatuan berasaskan etnik Kadazandusun dan etnik-etnik lain boleh menganjurkan karnival seumpama itu.

“Persatuan berasaskan etnik mempunyai platform sendiri untuk menganjurkan karnival di luar kawasan sekolah untuk memperkasakan lagi bahasa, budaya dan warisan masyarakat itu agar dapat diwarisi generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Yayasan Bank Rakyat (YBR) Datuk Philip Lasimbang berkata, YBR akan terus memberi sokongan program-program pembangunan pendidikan termasuk Karnival BKD bagi meningkatkan kesedaran orang ramai kepentingan menguasai dan memartabatkan bahasa ibunda.

“Inilah yang kita harapkan, apa yang dirancang dapat berjalan dengan jayanya. Saya juga berharap karnival ini dapat diteruskan pada tahun depan dengan penyertaan lebih banyak sekolah, bukan sahaja di Kota Belud tetapi seluruh Sabah,” katanya.

Pengetua SMK Narinang Soo Yong Huat berkata, beliau tidak menyangka Karnival BKD yang pertama kali diadakan selepas pandemik Covid-19 mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Karnival BKD yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin ini disertai lebih 1,000 peserta sekolah rendah dan menengah.

“Ini satu permulaan yang baik dan saya yakin daerah Kota Belud dapat menganjurkan karnival ini pada tahun dengan dengan lebih meriah bukan sahaja disertai sekolah-sekolah kawasan Kota Belud tetapi seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran karnival itu dapat memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat khususnya murid sekolah mengenai kepentingan memulihara budaya masyarakat mereka. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular