HomeSukanBaddrol masih berteka-teki, beri bayangan akan terus aktif sebagai pemain bola sepak

Baddrol masih berteka-teki, beri bayangan akan terus aktif sebagai pemain bola sepak

Read Time:2 Minute, 15 Second

Kota Kinabalu : Tonggak Sabah FC Baddrol Bakhtiar memberi bayangan bahawa perlawanan bertemu Sri Pahang FC di Stadium Likas malam tadi bukan perakhiran dalam karier bola sepaknya.

Malah bekas pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC itu menyatakan akan terus bermain dan aktif sebagai pemain bola sepak.

Baddrol bersama rakan sepasukan selepas tamat perlawanan semalam – Foto Ihsan MAHA

“Pertamanya saya bersyukur pada malam ini (semalam) kami Sabah FC berjaya meraih tiga mata yang penting dan perlawanan terakhir saya pada malam ini adalah satu kemenangan yang tidak akan saya lupakan dan satu ‘moment’ indah yang saya terima di sini.

“Jadi malam ini (semalam) adalah bukan perlawanan terakhir saya dalam karier bola sepak, saya tetap akan bermain selepas ini tetapi saya ada satu misi yang saya ingin lunaskan. Saya juga mengharapkan penyokong Sabah FC mendoakan kejayaan saya selepas ini,” katanya.

Baddrol dalam sidang medianya semalam – Foto Ihsan MAHA

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sabah FC berjaya menewaskan Sri Pahang FC 4-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Likas di sini malam tadi.

Pemain berusia 35 tahun yang telah membuat 41 penampilan dan berjaya menjaringkan 13 bersama Sabah FC berkata, beliau atau pihak pengurusannya akan memaklumkan dalam masa terdekat hala tujunya selepas perlawanan semalam.

“Mungkin dalam masa terdekat saya atau pun pihak pengurusan akan mengumumkan ke mana arah tuju saya selepas perlawanan malam ini,” katanya.

Baddrol menerima cenderamata daripada CEO Sabah FC Ahmad Marzuki dan turut disertai Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee – Foto Ihsan MAHA

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pengalaman selama dua tahun di Sabah, Baddrol mengakui ianya satu pengalaman yang sukar untuk digambarkan

Beliau juga terharu melihat pelbagai kaum dan turut dikelilingi sahabat serta rakan dan pemain yang baik sepanjang berada di negeri ini.

“Saya perlu berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah FC dan jurulatih yang banyak membentuk pasukan ini.

“Jadi saya mengharapkan perjuangan skuad Sabah FC dapat diteruskan lagi ke tahap lebih tinggi membawa nama Sabah FC ke tahap yang begitu gah lagi dan saya mendoakan kejayaan di AFC nanti,”katanya.

Sementara itu, CEO Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir, berkata pihak pengurusan dan peminat Sabah FC mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Baddrol selama kira-kira dua tahun berada di Sabah.

“Beliau telah menunjukkan dedikasi dan komitmen yang tinggi untuk membawa Sabah bermain ke peringkat yang lebih baik lagi.

“Buat masa ni saya dan Datuk Ong Kim Swee masih berbincang untuk calon pengganti Baddrol tetapi setakat ini belum ada lagi,” katanya.

Khabar angin mengatakan Baddrol mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah bulan depan selepas dipilih sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN).

Spekulasi itu timbul sejurus Sabah FC mengeluarkan kenyataan mengenai pengunduran Baddrol daripada pasukan berkenaan pada Jumaat lalu. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Ram Singh dilantik sebagai Presiden Persatuan Memanah Negeri Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular