HomeSukanBaddrol pemain, pemimpin cukup baik - Kim Swee

Baddrol pemain, pemimpin cukup baik – Kim Swee

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu: Kehilangan tonggak Sabah FC Baddrol Bakhtiar yang tidak lagi bersama pasukan sang Badak untuk baki saingan musim ini amat dirasai oleh skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee.

Baddrol beraksi kali terakhir bersama Sabah FC selepas pasukan itu berjaya menewaskan Sri Pahang FC 4-0 di Stadium Likas pada Sabtu lalu.

Kim Swee yang mengakui turut terasa dengan kehilangan pemain 35 tahun itu bagaimanapun tetap menghormati keputusan Baddrol yang sempat bermain bersama Sabah FC selama kira-kira dua tahun.

Katanya, keputusan yang diambil Baddrol itu bukan sesuatu yang mudah tetapi ia dibuat demi masa depan bekas pemain kebangsaan itu sendiri.

“Bukan mudah untuk Baddrol memilih untuk bersara namun apa yang Baddrol lakukan adalah demi kepentingan masa depan beliau, jadi kita harus menghormatinya.

“Seperti mana yang kita tahu, Baddrol bukan saja seorang pemain yang baik dalam padang tetapi juga seorang pemimpin yang cukup baik di luar padang.

“Jadi, kita pasti akan kehilangan seseorang terutama dalam ‘dressing room’ di mana beliau memainkan peranan yang cukup penting untuk pasukan Sabah,” katanya pada sidang media selepas aksi Liga Super menentang Sri Pahang Sabtu lalu.

Sementara itu, mengenai pengganti Baddrol, Kim Swee berkata perkara itu terpulang kepada pengurusan Sabah FC untuk membuat keputusan.

“Ini terpulang kepada pihak pengurusan  di mana saya hanya akan cuba dengan seberapa daya dengan apa yang ada ketika ini, namun jika kita mempunyai kemampuan dari segi kewangan sudah tentu saya akan menambah baik lagi pasukan,” katanya.

Beliau berkata perkara itu penting memandangkan Sabah FC perlu mengharungi banyak lagi perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia, termasuk piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) akan datang.

Dalam pada itu, Baddrol dalam sidang media berasingan selepas tamat perlawanan itu mengakui perlawanan menentang Sri Pahang bukan pengakhiran kepada karier bola sepaknya.

Katanya, beliau tetap akan bermain bola sepak namun perlu melaksanakan satu misi yang belum dapat didedahkan pada masa ini.

Beberapa hari lalu timbul khabar angin mengatakan Baddrol mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah bulan depan selepas dipilih sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN).

Spekulasi itu timbul sejurus Sabah FC mengeluarkan kenyataan mengenai pengunduran Baddrol daripada pasukan berkenaan. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Piala Malaysia : Sabah FC waspada bertemu pasukan bekas ‘Ketua Kampung...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular