HomeUtamaInisiatif Program Semarak Siswa fokus jalinan akrab mahasiswa dan komuniti

Inisiatif Program Semarak Siswa fokus jalinan akrab mahasiswa dan komuniti

Read Time:2 Minute, 6 Second

Kota Belud : Inisiatif pelaksanaan Program Semarak Siswa Madani yang dilancarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan membawa inovasi dan idea-idea baharu yang tercetus di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kepada masyarakat dengan memfokuskan kepada jalinan akrab antara mahasiswa dan komuniti. 

Timbalan Menteri Pendidikan Dato’ Mohammad Yusof Apdal berkata, program yang dilancarkan Menteri Pendidikan Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin pada 20 Jun lalu memberi fokus kepada empat program utama yang telah dirangka.

Katanya, ia termasuklah KPT Prihatin Madani, Student for Society (S4S), Inovasi Sosial – Knowledge Transfer Programme (KTP) dan TVET @ Komuniti Madani. 

“KPT Prihatin Madani adalah pelaksanaan program klinik bergerak dan program jangkauan (Outreach) kesihatan komuniti kepada golongan sasar terutamanya golongan luar bandar/pedalaman dan komuniti B40 yang jauh daripada fasiliti kesihatan. 

“Bagi S4S pula adalah berdasarkan enam teras pembangunan komuniti termasuklah khidmat sosial, pengurusan kemanusiaan, pendidikan berkualiti, kesihatan dan kesejahteraan, kelestarian alam sekitar serta advokasi dan kepimpinan.  

“Di samping itu juga, bagi memberi lebih impak kepada masyarakat, KTP telah diperkenalkan iaitu usaha sama di antara IPTA dengan industri tempatan untuk pengukuhan ilmu terhadap komuniti dan industri di Malaysia bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan komuniti lokal dan industri. 

“Manakala bagi TVET @ Komuniti Madani pula adalah sumbangan perkhidmatan berasaskan TVET kepada golongan komuniti seperti Program Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH), penyelenggaraan bangunan komuniti dan kediaman golongan berkeperluan serta penyelenggaraan kecil motosikal komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Semarak Siswa Madani Sabah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan II Kota Belud di sini semalam.

Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Datuk Dr Kasim Mansor.

Yusof berkata, kerjasama erat dan sinergi antara KPT, UMS dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam melaksanakan program seumpama itu diharap dapat diteruskan terutamanya dalam memberikan ruang kepada pelajar untuk menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi. 

Katanya, perubahan zaman telah membolehkan semua pihak dapat mengakses maklumat yang diperlukan dengan lebih mudah.

“Revolusi pendigitalan menjadikan proses untuk mendapatkan maklumat lebih pantas. Begitu juga sekiranya ingin mendapatkan maklumat mengenai bidang yang ingin dipohon di IPT. 

“Saya yakin, semua adik-adik yang berada di sini sudah boleh menjangkakan bidang yang dimohon. Pesanan saya, jadikan kemudahan ini untuk membantu dan bukannya membinasakan. 

“Saya menyeru adik-adik yang ada di sini agar sentiasa berusaha untuk maju kehadapan dalam apa jua cabang bidang. Minat boleh digilap dari peringkat sekolah menengah. Jangan mudah mengalah dan sentiasa berikhtiar untuk mengubah nasib kepada yang lebih baik. Ibu bapa di sini juga sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya. – SABAH MEDIA.

RELATED ARTICLES
Utama

Jemaah haji diharap jadi duta promosi TH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular