HomeEkonomiRumpai laut & halia bakal cipta gelombang pertumbuhan baru dalam pembangunan lestari...

Rumpai laut & halia bakal cipta gelombang pertumbuhan baru dalam pembangunan lestari sabah

Read Time:3 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Negeri Sabah bakal memperoleh pelbagai manfaat menyeluruh daripada halia dan produk berasaskan rumpai laut yang dihasilkan secara mampan di negeri ini, hasil daripada penerimaan dan pelaksanaan teknologi berasaskan bio terkini yang semakin meningkat di kalangan pemain industri tempatan.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Arthur Joseph Kurup mengulas mengenal potensi ini selepas menyaksikan majlis pertukaran produk berasaskan bio dan Memorandum Persefahaman anjuran Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sempena sambutan Hari Koperasi Negara 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu (22 Julai).

Semasa majlis itu, Rhodomaxx Sdn Bhd, sebuah syarikat berasaskan bio di Sabah, melancarkan “AlgaGrow”, iaitu produk baja berasaskan bio yang diperoleh secara mampan daripada rumpai laut Sabah.

Arthur (dua kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak (kanan) menunjukkan produk berasakan bio “AlgaGrow” selepas pelancaran produk itu.

Sementara itu, majlis pertukaran MoU yang diadakan antara syarikat Bio-based Accelerator (BBA) Tamara Nanoetech (M) Sdn Bhd (Tamara) dan Koperasi Pembangunan Usaha Jaya Semporna Berhad (KOPUJAYA) menandakan kerjasama mereka bagi penubuhan ladang perintis untuk penanaman halia di Tuaran yang menggunakan input nutrien halia dengan teknik pertanian moden.

Datuk Arthur menyatakan bahawa syarikat berasaskan bio Malaysia yang inovatif seperti Rhodomaxx dan Tamara memainkan peranan penting dalam memartabatkan petani Sabah melalui pemodenan kaedah pertanian, membangunkan peluang ekonomi untuk menjana kekayaan, serta menyelesaikan isu global melalui penyelesaian mampan tempatan.

Katanya, sebagai negeri pengeluar rumpai laut terbesar dan pengeluar halia ketiga terbesar di Malaysia, Sabah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sektor pertanian dan bioekonomi negara.

“Melalui dan sokongan yang diberikan oleh Bioeconomy Corporation, Rhodomaxx dan Tamara telah memaksimumkan sumber semula jadi yang banyak ini dan memanfaatkannya untuk memacu inovasi dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Menurut Arthur, Rhodomaxx telah melabur RM1.5 juta dalam penyelidikan dan pembangunan produk, termasuk untuk derivatif berasaskan rumpai laut seperti bioplastik dan bahan tambahan makanan, dengan rancangan untuk meningkatkannya kepada RM12 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Sementara kerjasama antara Tamara dan KOPUJAYA di ladang perintis di Tuaran akan melibatkan sekurang-kurangnya 40 orang petani dari industri halia yang dijangka akan menghasilkan sekurang-kurangnya 150 tan metrik (MT) halia dari Sabah.

“Syarikat-syarikat ini menunjukkan bagaimana tindakan inovatif bersama pelaburan serius dan perkongsian strategik dalam bio dapat memacu kemajuan sektor pertanian di Sabah,” kata Arthur.

Tambah beliau, usaha ini sejajar dengan misi Dasar Bioteknologi Negara 2.0 untuk menyatukan dan menumpukan sumber dan aktiviti berasaskan bio Malaysia bagi kemajuan kemakmuran ekonomi, kelestarian masyarakat dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak menekankan bahawa inisiatif berasaskan bio yang dijalankan oleh Rhodomaxx, Tamara dan KOPUJAYA berteraskan amalan mampan yang akan menambah nilai yang tinggi kepada pembangunan pertanian dan ekonomi Sabah.

“Hasil daripada inisiatif ini. Sabah akan mendapat manfaat daripada input pertanian yang mampan, mengurangkan pergantungan kepada input baja yang diimport, mewujudkan peluang penyerap karbon yang berpotensi, penghasilan bahan input bukan kimia yang lebih selamat, saluran pasaran yang luas untuk penternak rumpai laut, pemindahan teknologi untuk penanaman halia berasaskan bio, pemodenan petani halia, dan pembangunan produk rumpai laut dan halia yang inovatif.

Katanya, inisiatif ini dijangka akan menjana hasil yang besar daripada rumpai laut sebagai komoditi yang sangat bernilai, dengan hasil tahunan rumpai laut mentah di Malaysia antara RM50 juta hingga RM60 juta dalam tempoh tiga tahun sebelumnya, di samping permintaan pasaran global yang kukuh untuk halia, yang diunjurkan mencecah USD10.3 bilion menjelang tahun 2030 dan berkembang pada kadar CAGR 4.7% dalam tempoh ramalan 2022-2030.
Manakala kadar sara diri (SSR) semasa Malaysia untuk halia berada pada 18.9%, iaitu volum import melebihi 50,000 MT.

Pengasas dan pengarah Rhodomaxx, Chung Ngin Zhun berkata, pada pandangan Rhodomaxx, masa depan rumpai laut di Sabah sangat cerah. Sebagai rakyat Sabah, kami percaya bahawa rumpai laut tempatan boleh menyelesaikan isu kemampanan dunia daripada pencemaran plastik dan ketidakseimbangan biokimia seperti bunga alga.

“Dengan sokongan dan bimbingan kerajaan Malaysia daripada Bioeconomy Corporation, kami menyasarkan untuk meningkatkan penghasilan bioplastik, baja dan bahan tambahan makanan kami untuk memenuhi pasaran global,” katanya.

Pengarah Urusan Tamara, Syakur Mohd Suhaimi menyatakan, pihaknya amat percaya bahawa kerjasama syarikatnya dengan Koperasi Pembangunan Usaha Jaya Semporna Berhad akan memacu perkembangan Tamara Nanoetech ke pasaran halia yang berkembang pesat di Sabah.

“Dengan menyepadukan input pertanian terkini dan memodenkan amalan penanaman halia, perkongsian ini bakal meningkatkan pengeluaran halia di Sabah, sejajar dengan matlamat negara untuk meningkatkan keselamatan makanan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular