HomeUtamaUmat Islam digalakkan terus menabung di TH sebagai tanda sokongan dan dokongan

Umat Islam digalakkan terus menabung di TH sebagai tanda sokongan dan dokongan

Read Time:2 Minute, 9 Second

Kota Kinabalu : Umat Islam khususnya yang telah menunaikan ibadah haji digalakkan untuk terus membuat tabungan di Tabung Haji (TH) sebagai tanda sokongan dan dokongan terhadap institusi berkenaan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia juga dapat membantu menyampaikan syiar kempen kepada masyarakat dalam memperkasa TH untuk melaksanakan pelbagai program termasuk melaksanakan zakat.

“Saya juga bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah meminta para jemaah haji atau jemaah yang telah menunaikan ibadah yang telah menerima khidmat yang baik dari TH agar terus menyokong dan mendokong TH.

“Ia khususnya dalam aktiviti menabung, menyampaikan syiar kempen kepada masyarakat agar kita dapat memperkasa TH dengan mengalakan mereka, keluarga mereka , jiran kita dan sahabat kita terus menabung di TH,” katanya.

Hadir sama menyambut ketibaan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam dan Pengarah Wilayah TH Sabah dan Sarawak Datin Nurlaila Said.

Seramai 274 jemaah daripada 1,079 jemaah haji Sabah itu tiba semalam di KKIA menerusi dua penerbangan masing-masing pada jam 7.30 malam dan 8.10 malam tadi.

Hari ini dua lagi penerbangan dijangka akan tiba pada jam 6.10 petang dan 9.10 malam nanti di KKIA, manakala dua penerbangan lain dijadualkan tiba pada 30 Julai ini pada jam 5.15 pagi dan 7.30 petang.

Arifin berkata, pendeposit yang telah membuat tabungan di TH juga digalakkan untuk terus menambah dan mengekalkan sumbangan serta tabungan di agensi berkenaan yang bukan sahaja membantu diri sendiri malah turut membantu masyarakat secara keseluruhan.

“Sudah tentu impak kepada tabungan ini adalah pertamanya ianya boleh memperkasa TH, kedua boleh membantu TH dalam menyebar luas aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan ketiga TH boleh menambah sumbangan zakat kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

“Dengan sendirinya sumbangan ini akan kembali kepada asnaf yang mana selama ini TH telah memberi sumbangan dan tanggungjawan zakatnya kepada MUIS seterusnya kita agihkan kepada asnaf serta melaksanakan CSR untuk mereka yang memerlukan,” katanya.

Mengenai keadaan jemaah haji Sabah sepanjang di Tanah Suci, Mohd Arifin berkata, tiada sebarang masalah serius berlaku pada musim haji kali ini.

Katanya, pengurusan jemaah haji di bawah TH juga berjalan dengan lancar termasuk berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan dan Imigresen.

“Bagi pihak kerajaan negeri, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada TH kerana berjaya menyelaras, menyelenggara, memantau dan menjalankan tugas dengan baik kepada rombongan atau jemaah haji kita.

“Saya juga meminta kepada jemaah haji agar terus mengekalkan istiqomah kita dalam mengamalkan ibadah dan melaksanakan amal yang soleh di tanah air.

“Semoga semua jemaah dapat terus berjemaah, bersedekah dan berukhuwah kerana ia adalah antara pancaran falsafah haji itu sendiri,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
PendapatUtama

Memahami Bidang Kuasa TYT Sabah & Mengapa Tun Musa Aman Dilantik?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular