HomeUtamaHKN23 dapat sambutan memberansangkan - Ewon

HKN23 dapat sambutan memberansangkan – Ewon

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA KINABALU: Hari Koperasi Negara 2023 (HKN23) telah mendapat sambutan memberansangkan dengan kehadiran seramai 10,000 pengunjung dengan jualan pempamer direkodkan mencecah RM1.5 juta serta Jualan Madani Koperasi berjumlah RM90 ribu dalam tempoh tiga hari.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 219 pempamer telah mengambil bahagian dalam Ekspo Produk dan Perkhidmatan Koperasi.

“Pada kali ini, koperator dari segenap pelosok negeri Sabah telah berpeluang untuk hadir bersama-sama merasai kemeriahan Sambutan Hari Koperasi Negara pada tahun ini.

“HKN23 telah mendapat sambutan yang amat memberansangkan dengan kehadiran seramai 10,000 pengunjung dengan tempoh tiga hari, jualan pempamer direkodkan mencecah RM1.5 juta dengan Jualan Madani Koperasi berjumlah RM90 ribu.

“Manakala nilai prospek perniagaan dalam sesi padanan perniagaan pula berjumlah RM46.9 juta. Sementara itu, penyertaan 17 buah Foodtruck telah menatijahkan hasil jualan berjumlah RM101.5 ribu,” katanya semasa berucap pada Majlis Penutupan Bulan Koperasi Kebangsaan 2023 (BKK’23) di sini hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua yang menjayakan program berkenaan.

“Tahniah diucapkan kepada semua. Ini merupakan satu kejayaan bagi gerakan koperasi dan saya berharap penganjuran HKN23 dapat meningkatkan aktiviti perniagaan warga koperator dan juga usahawan serta membantu rakyat membeli barangan pada harga yang berpatutan,” katanya.

Menurutnya, gerakan koperasi juga telah diberi tanggungjawab untuk membantu memperkukuhkan keterjaminan bekalan makanan negara (food security) melalui penglibatan koperasi dalam sektor agromakanan.

“Sehingga kini, terdapat sebanyak 172 koperasi telah terlibat secara khusus dalam sektor agromakanan yang meliputi aktiviti pertanian, penternakan, perikanan dan pembekalan input pertanian dan ternakan.

“Sebagai usaha untuk meningkatkan penglibatan dan sumbangan koperasi dalam sektor ini, Kementerian melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menyediakan pembiayaan modal pusingan agromakanan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM100 juta dan geran bantuan pembangunan sehingga RM300,000 kepada koperasi yang berkelayakan,” ujarnya.

Sehubungan dengan itu, katanya, Kementerian juga telah mengadakan kerjasama strategik dengan agensi Kerajaan yang lain seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk mengoptimumkan potensi sumber antara kedua-dua Kementerian.

RELATED ARTICLES
Utama

2 Anggota Polis Ulu Tiram Terbunuh, Penyerang Ditembak Mati

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular