KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong danRaja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Baginda berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada para perwira ATM dan PDRM atas jasa, khidmat dan bakti yang dicurahkan dalam melindungi kedaulatan dan menjaga keselamatan tanah air tercinta.
Istana Negara dalam kenyataannya berkata, selaku ketua utama negara dan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Yang di-Pertuan Agong menyanjung tinggi dan merakamkan setinggi penghargaan atas pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka tanpa mengira masa dan penat lelah dalam memikul amanah menjaga keamanan negara.
“Sesungguhnya jerih perih mereka, para pejuang tanah air pada masa dahulu dan sekarang, adalah demi negara kita yang berdaulat,” kata kenyataan itu.
Baginda berdua turut menzahirkan setinggi penghargaan kepada seluruh keluarga para pahlawan dan perwira yang telah terkorban semasa bertugas dan mendoakan semoga roh mereka yang beragama Islam dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan ditempatkan bersama para solihin.