HomeUtamaJemaah haji diharap dapat terus menjadi 'duta' TH dalam menyebarkan kebaikan menabung,...

Jemaah haji diharap dapat terus menjadi ‘duta’ TH dalam menyebarkan kebaikan menabung, mendaftar haji

Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Jemaah haji khususnya di negeri ini diharap dapat terus membantu dan menjadi duta kepada Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membantu menyebarkan kebaikan menabung dan mendaftar dengan agensi itu bagi menunaikan ibadah haji.

Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said berkata, pendekatan itu adalah penting bagi memastikan semua umat Islam berpeluang menunaikan ibadah berkenaan.

“Kita berharap agar jemaah haji khususnya di negeri ini dapat terus mengamalkan ibadah yang lebih baik untuk mendapatkan haji yang mabrur dan terus menjadi duta kami dalam menyampaikan mesej-mesej kebaikan menabung dan mendaftar haji di TH.

Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak, Datin Nurlaila Said

“Bagi yang belum lagi mendaftar haji, mohon untuk singgah kemana-mana pejabat cawangan yang berdekatan. Andai ada keraguan sama ada mereka ini sudah mendaftar haji atau belum, saya mohon juga untuk tampil ke pejabat berdekatan untuk membuat semakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meraikan petugas haji dari Sabah sempena musim haji tahun ini, di sini, petang semalam.

Seramai 176 petugas haji dari Sabah diraikan pada majlis itu, terdiri daripada anggota TH dan kakitangan agensi lain yang terbabit dalam operasi haji sepanjang musim haji tahun ini.

Bagi tahun ini, seramai 1,079 jemaah haji dari negeri ini terpilih ke Tanah Suci melalui enam penerbangan haji.

Sementara itu, Nurlaila berkata, umat Islam yang sudah menunaikan rukun Islam kelima itu juga digalakkan untuk terus menabung di TH sebagai tanda sokongan terhadap institusi berkenaan.

“Teruslah mendokong TH dan menghebahkan atau menyebarluaskan syiar Islam kita melalui kesetiaan kepada TH,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti menabung di TH dapat membantu memartabatkan ekonomi Islam selain membolehkan lebih banyak program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk kepentingan umat Islam dapat dilaksanakan, termasuk di Sabah. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pelajar Maahad Tahfiz antara bakal jemaah haji muda Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular