HomeUtamaCuaca Panas : 16 kes dilaporkan melibatkan kelesuan, kekejangan dan strok haba...

Cuaca Panas : 16 kes dilaporkan melibatkan kelesuan, kekejangan dan strok haba di Sabah

Read Time:2 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 16 kes berkaitan cuaca panas di negeri Sabah dilaporkan melibatkan kelesuan haba; kekejangan haba dan strok haba yang direkodkan bagi tempoh empat bulan sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Dr Asits Sanna berkata, jumlah kes yang direkodkan bermula 15 April lalu itu membabitkan 10 kes kelesuan haba; tiga kes (kekejangan otot) dan tiga kes lagi melibatkan strok haba.

“Kes berkaitan dengan cuaca panas yang terkini dilaporkan adalah satu kes yang melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang mengalami simptom kelesuan haba dan telah mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kerajaan pada 27 Julai lalu.

“Pelajar berkenaan telah dibenarkan pulang pada hari yang sama. Faktor risiko yang dikenalpasti adalah terlibat dalam aktiviti bersukan dalam keadaan cuaca panas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Asits berkata, sebanyak empat daerah telah dikategorikan berada pada tahap satu iaitu berjaga-jaga dengan catatan suhu maksimum harian 35 darjah celcius hingga 37 darjah celcius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

“Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan status cuaca panas bagi negeri ini yang dikemaskini pada jam 4.40 petang semalam dengan empat daerah iaitu Tuaran, Nabawan, Beluran dan Kinabatangan dilaporkan berada pada Tahap Satu (berjaga-jaga),” katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, orang awam adalah dinasihati untuk melakukan beberapa perkara penting bagi mencegah atau mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas.

Katanya, ia termasuklah meminum air kosong yang mencukupi selain mengurangkan pengambilan minuman berkafein, alkohol dan bergula.

“Ini kerana ia tidak baik untuk hidrasi badan selain mengurangkan aktiviti fizikal semasa cuaca panas.  Orang awam juga dinasihati untuk sentiasa mengawasi kesihatan dan aktiviti anak-anak semasa cuaca panas selain menggalakkan anak-anak supaya membawa air kosong ke sekolah dan kerap minum air.

“Selain itu, menggunakan pendingin hawa atau kipas untuk menyejukkan badan, memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang serta memakai topi atau payung untuk melindungi diri dari pancaran haba matahari,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga perlu peka dengan kehadiran haiwan liar seperti ular yang mana ketika cuaca panas, ular terpaksa keluar daripada habitat untuk mencari tempat yang redup dan banyak sumber makanan seperti dalam rumah dan kawasan sekitar.

Sementara itu, Dr Asits berkata, cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh lalu menyebabkan cecair dalam badan berkurangan.

Katanya, antara gejala penyakit berkaitan cuaca panas adalah badan berasa kering dan panas, denyutan jantung menjadi laju, pening, mual dan boleh mengakibatkan sawan ataupun pengsan.

“Kanak-kanak dan warga emas adalah golongan yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan daripada keadaan ini.

“Segeralah berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya mengalami tanda-tanda awal kekejangan haba, kelesuan haba, strok haba dan sekiranya dipatuk ular.

“Nasihat kesihatan menghadapi cuaca panas juga boleh diperolehi daripada portal rasmi Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia di laman sesawang https://www.infosihat.gov.my/cuaca-panas.html,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Tangguh Kes Berkaitan Akta Laut Wilayah Hingga...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular