Kota Kinabalu : Sabah FC tidak memandang rendah kepada keupayaan Kuching City FC menjelang pertemuan ‘Borneo Derby’ dalam saingan Piala Malaysia perlawanan pertama di Stadium Negeri Kuching Sarawak Sabtu ini.
Ketua Jurulatih Sabah FC Datuk Ong Kim Swee berkata, saingan itu dijangka sengit dengan kehadiran jurulatih baharu pasukan itu, Aidil Shahrin Sahak.
“Ini adalah perlawanan pertama di tempat lawan dan merupakan kali ketiga Sabah FC menentang Kuching City FC. Seperti kebiasaannya pertembungan Borneo Derby ini memang banyak persaingan di antara kedua-dua kelab.
“Saya jangkakan juga perlawanan ini nanti cukup sengit terutama Kuching City FC dengan kehadiran jurulatih baru mereka. Sudah pasti mereka mempunyai perancangan terbaik bagi memastikan Sabah FC tidak mendapat mata penuh apabila bermain di sana nanti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, ketika mengulas ketiadaan Saddil Ramdani, Cifuentes serta Darren Lok yang mungkin akan mengganggu sedikit persiapan Sabah FC, Kim Swee berkata, pihaknya masih mempunyai masa yang cukup untuk menentukan pengganti ketiga-tiga pemain tersebut.
“Mereka mengalami kecederaan hampir dua minggu selepas perlawanan dengan Kuching City di sini (Kota Kinabalu) tempoh hari.
“Darren dan Park (Taesu) masih cedera selepas perlawanan menentang Penang FC, namun sudah tentu kita ada pemain lain bersiap sedia untuk menggalas tugas dengan sempurna nanti,” katanya.
Kim Swee juga mengakui setakat ini Sabah FC sudah dibolosi 25 gol namun dalam tempoh sama masalah ini sudah mula diatasi selepas pusingan kedua bermula.
“Ini merupakan salah satu kelemahan kita, jika dilihat pada pusingan kedua selepas perlawanan menentang Kuching City kita berjaya memperbaiki daripada dibolosi melebihi daripada satu gol.
“Apa yang penting kita akan terus memperbaiki kelemahan sedia ada di mana Sabah FC cuba tidak dibolosi banyak gol pada setiap perlawanan,” katanya. – SABAH MEDIA