HomeUtamaPembangunan infrastruktur sekolah, kualiti guru, peralatan sekolah dan aktiviti luar kelas perlu...

Pembangunan infrastruktur sekolah, kualiti guru, peralatan sekolah dan aktiviti luar kelas perlu diambil perhatian

Read Time:4 Minute, 44 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN
04 Ogos 2023

1.         Beberapa hari lepas, Ketua Menteri Sabah telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) untuk mengenal pasti punca seramai 5,686 (14%) calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sabah tidak hadir dan menduduki peperiksaan SPM tersebut.

Daripada jumlah 40,147 calon yang mendaftar, hanya 34,461 calon telah menduduki peperiksaan SPM 2022 di Sabah.

2.         Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, ketika Sidang Dewan Rakyat pada Jun 2023, data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan bahawa seramai 29,663 (7%) calon telah tidak menduduki SPM 2022, daripada jumlah keseluruhan 407,637 calon berdaftar.

3.         Data-data berkenaan menunjukkan dua perkara yang membimbangkan untuk Sabah:

  • peratusan calon yang tidak menduduki SPM 2022 di Sabah (14%) adalah dua kali ganda dari peratusan nasional (7%)
  • calon yang tidak menduduki SPM 2022 Sabah (5,686) merangkumi 19% daripada jumlah nasional (29,663)

Ini bermakna, untuk setiap lima (5) calon yang tidak menduduki SPM 2022, satu (1) calon adalah dari Sabah!

4.         Isu ini bertambah rumit jika mengambil kira pencapaian SPM negeri Sabah berbanding dengan negeri-negeri di seluruh Malaysia. Untuk SPM 2022, nilai Gred Purata Negeri (GPN) Sabah adalah 5.22. Walaupun merekodkan prestasi lebih baik berbanding GPN Sabah (5.35) untuk SPM 2021, keputusan SPM 2022 telah meletakkan Sabah di tangga paling bawah.

5.         Gred Purata Nasional untuk SPM 2022 adalah 4.74. Ada enam negeri yang mencatatkan GPN lebih baik dari Gred Purata Nasional iaitu: Negeri Sembilan (4.50), Wilayah Persekutuan Labuan (4.56), Pahang (4.57), Terengganu (4.59), Johor (4.59), dan Pulau Pinang (4.60).

6.         Indeks Gred Purata Negeri (GPN) adalah mekanisma yang di guna-pakai oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menilai pencapaian SPM sesebuah negeri. Secara ringkas, pencapaian SPM yang baik akan memberi nilai GPN yang kecil. Makin baik pencapaian SPM, makin kecil nilai GPN.

7.         Isu calon SPM ini mungkin melibatkan pelbagai faktor, termasuklah – kemiskinan, masalah keluarga, masalah disiplin, sudah bekerja, tiada minat untuk belajar.

8.         Namun begitu, ianya wajar di teliti bersama dengan isu-isu utama yang menghantui sistem pendidikan di Sabah untuk sekian lama. Kedua- dua isu ‘hardware’ seperti – infrastruktur sekolah, dan isu ‘software’ seperti – kualiti guru, adalah faktor-faktor yang mempengaruhi pembelajaran serta pencapaian pelajar.

9.         Pada Mei 2023, Timbalan Ketua Menteri Sabah di laporkan berkata bahawa mengikut rekod Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) 2022, terdapat 1,071 buah sekolah rendah dan 221 buah sekolah menengah di Sabah. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 54.5% (704 sekolah) di kategorikan sebagai daif dan memerlukan pembaikan serta penyelenggaraan segera.

10.       Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia, sekolah berskala enam merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dari pihak teknikal Jabatan Pendidikan Negeri. Manakala, sekolah berskala tujuh pula merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dari Jabatan Kerja Raya (JKR).

11.       Pada tahun 2020, 414 buah sekolah di sahkan memiliki bangunan berskala enam, dan 52 buah sekolah lagi memiliki bangunan berskala tujuh di Sabah. Ini bermakna 36% (466) sekolah di Sabah memiliki bangunan yang tidak selamat untuk di gunakan!

Menteri Pendidikan Malaysia di laporkan berkata daerah Ranau merekodkan jumlah sekolah daif paling tinggi di Sabah, iaitu 44 buah sekolah, di mana kebanyakan bangunan berkenaan berada pada skala enam dan tujuh.

12.       Di bawah Belanjawan 2023, Perdana Menteri Malaysia telah mengumumkan peruntukan berjumlah RM900 juta untuk mengatasi masalah sekolah daif di seluruh Malaysia, melibatkan 380 buah sekolah. Namun begitu, tiada maklumat mengenai jumlah yang di sediakan untuk negeri Sabah. Sudah pasti negeri Sabah memerlukan jumlah peruntukan yang besar untuk meningkatkan kualiti infrastruktur sekolah.

Isu infrastruktur sekolah mesti di selesaikan segera sebagai pemangkin utama untuk meningkatkan kualiti pembelajaran.

13.       Pada Julai 2023, tiga (3) orang bekas pelajar di Sabah telah menang di dalam kes saman terhadap seorang guru Bahasa Inggeris mereka, yang telah ponteng kelas selama 7 bulan. Oleh kerana itu, mereka telah gagal subjek tersebut di dalam peperiksaan SPM. Tindakan ponteng guru sebegini telah menjejaskan pendidikan serta pencapaian pelajar, dan mungkin juga masa depan mereka. Ini tidak boleh di maafkan!   

Persoalan: Kenapakah Kementerian Pendidikan atau sekolah tidak mengambil tindakan untuk menggantikan guru ponteng tersebut?

Adakah ini di sebabkan oleh birokrasi kerajaan atau sikap ambil-mudah segelintir pegawai kerajaan?

14.       Kes saman mahkamah ini membuktikan guru memainkan peranan penting di dalam pembelajaran di sekolah. Ini wajar menjadi peringatan kepada semua pihak berkepentingan bahawa tanggungjawab kepada pelajar mesti di utamakan.

15.       Justeru itu, di dalam isu calon SPM ini, kerajaan jangan mudah sahaja menunding jari kepada para pelajar, tetapi lihat dan nilai juga perkara ‘hardware’ dan ‘software’ yang di sediakan untuk para pelajar di sekolah, seperti – infrastruktur sekolah, kualiti guru, peralatan sekolah dan aktiviti luar kelas.

16.       Sekiranya isu calon SPM ini tidak di tangani secara menyeluruh, sudah pasti ianya boleh merencatkan agenda Sabah Maju Jaya. Pembangunan Sabah memerlukan modal insan tempatan yang memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi. Tambahan lagi, usaha Kerajaan Sabah untuk menangani isu kemiskinan di Sabah tidak akan berjaya sekiranya kitaran kemiskinan/ poverty cycle tidak dapat di patahkan melalui pendidikan.

17.       Pendidikan kunci kejayaan.

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular