HomeUtamaHayati patriotisme dan pupuk perpaduan - Hajiji

Hayati patriotisme dan pupuk perpaduan – Hajiji

Read Time:1 Minute, 36 Second

TUARAN: Kempen Bulan Hari Kebangsaan dan Kibarkan Jalur Gemilang adalah masa terbaik untuk menghayati patriotisme dan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Berucap pada program Merdeka Jalur Gemilang di Astaka Padang Tuaran di sini hari ini, beliau berkata tema Hari Kebangsaan tahun ini, “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, adalah tepat kerana perpaduan kaum dan toleransi telah menjadi tonggak dalam memelihara negara kemerdekaan.

Hajiji berkata, dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, perpaduan antara pelbagai kaum dan etnik perlu terus dipupuk dan dilindungi kerana ia adalah satu-satunya cara untuk mencapai progresif pertumbuhan ekonomi dan kestabilan politik.

“Saya menyeru rakyat untuk bersatu dan bekerjasama untuk melindungi dan mengukuhkan perpaduan di negara kita. Menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk memastikan kemakmuran dan kemajuan akan berterusan dinikmati dan tidak terganggu dengan anasir negatif,” katanya.

Begitu juga, katanya usaha Kerajaan Negeri dalam merealisasikan pembangunan yang dirancang di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya memerlukan sokongan padu daripada semua.

“Dalam konteks ini, hubungan erat, persefahaman, toleransi dan perpaduan di kalangan rakyat di semua peringkat adalah kritikal dalam menentukan kejayaan pembangunan di Sabah,” katanya.

Selaras dengan bulan Hari Kebangsaan, Hajiji turut menggesa rakyat mengambil inisiatif itu mengibarkan Jalur Gemilang dengan bangga dan menggantikan bendera yang rosak dengan yang baharu.

“Marilah kita bersama-sama menyemai sikap prihatin dalam kalangan masyarakat supaya mereka memandang tinggi dan hormatilah Jalur Gemilang sebagai lambang dan identiti bangsa ini,” katanya.

Hadir sama Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai, Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd Datuk Jasnih Daya, Pengerusi SESB Datuk Wilfred Madius Tangau, Pegawai Daerah Hadzlan Jablee, Pengarah Penerangan Negeri Jainisah Mohd Noor dan ketua-ketua masyarakat.

Dalam program itu, Hajiji kemudiannya melancarkan konvoi 17 kenderaan daripada lapan agensi awam dan swasta melibatkan 66 peserta.

Anjuran Jabatan Penerangan Negeri, konvoi Kembara akan menempuh jarak 2,300 kilometer seluruh Sabah sehingga 31 Ogos ini.

RELATED ARTICLES
Utama

Pengamal media bantu kerajaan sebar, terangkan berita tepat, sahih kepada rakyat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya