Kuching : Sabah FC masih belum berasa selamat meskipun skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu dilihat hampir melangkah ke suku akhir Piala Malaysia 2023 selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Kuching City FC pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Negeri Kuching semalam.
Kim Swee berkata, para pemain perlu kekal fokus dan tidk terlalu selesa dengan kelebihan tiga gol yang bakal dibawa untuk aksi kedua di Stadium Likas 19 Ogos ini.
“Satu keputusan yang baik tapi kita masih lagi belum melangkah ke peringkat seterusnya. Kita ada lagi satu perlawanan timbal balik di Kota Kinabalu.
“Kita perlu kekal fokus terutamanya dengan disiplin yang cukup baik dimana kita tidak dibolosi,” katanya dalam sidang media selepas tamat perlawanan semalam.
Kim Swee berkata, pasukannya mempunyai 90 minit lagi untuk beraksi di laman sendiri bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
“Macam-macam boleh berlaku dalam 90 minit perlawanan, kita perlu kekal fokus pada perlawanan kedua nanti,” katanya.
Terdahulu pada aksi di Stadium Negeri, Sabah FC mempamerkan aksi bertenaga yang menyaksikan mereka mendahului 3-0 hanya dalam tempoh 15 minit sebelum mula mengendurkan asakan.
Ramon Machado meledak dua gol dalam 10 minit pertama iaitu pada minit keempat dan ketujuh sebelum Daniel Ting menambah gol ketiga pada minit ke-15.
Pemenang ‘Tetangga Borneo’ ini akan menanti pemenang antara ‘Tetangga Utara’ dengan Perak FC ketika ini mendahului Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-1 secara agregat. – SABAH MEDIA