HomeIsu tempatan115 beg darah berjaya dikumpul sempena kempen derma darah KKJA

115 beg darah berjaya dikumpul sempena kempen derma darah KKJA

Read Time:2 Minute, 1 Second

Kota Kinabalu : Sebanyak 115 beg darah berjaya dikumpul menerusi penganjuran Kempen Derma Darah anjuran Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) di sini semalam.

Kempen yang dijayakan dengan kerjasama Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) itu adalah bersempena dengan Hari Kewartawanan KKJA yang disambut setiap tahun pada bulan ini.

Kempen yang diadakan di Palm Square, Centre Point Sabah (CPS) bermula seawal jam 10 pagi itu telah dirasmikan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Datuk Dr Roland Chia.

Roland berkata, kempen yang dianjurkan kali kedua itu dilihat satu usaha yang positif dalam mewujudkan kesedaran kepada masyarakat awam mengenai keperluan bekalan darah untuk hospital khususnya di negeri ini.

Katanya, tidak dinafikan hospital di seluruh negara mengalami kekurangan bekalan darah dan ada dalam kalangan hospital itu hanya mempunyai kurang 50 peratus bekalan darah.

“Oleh itu, Sabah khususnya memerlukan bekalan darah yang banyak untuk dibekalkan kepada pesakit terutamanya mangsa kemalangan, pesakit yang membuat pembedahan serta pesakit talasemia dan banyak lagi.

“Berdasarkan statistik pada 2020, Sabah mempunyai pesakit talasemia tertinggi dalam negara iaitu seramai 1,910 orang. Jumlah ini adalah daripada anggaran sejumlah 8,178 pesakit talasemia di seluruh negara,” katanya ketika merasmikan Kempen Derma Darah KKJA 2023 di sini, semalam.

Roland turut menyeru agar lebih banyak Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk tampil ke hadapan mencontohi usaha KKJA menganjur kempen derma darah.

Beliau turut berharap lebih banyak pusat beli belah mampu menyediakan tapak secara percuma kepada NGO melaksanakan aktiviti amal seperti kempen derma darah.

Sementara itu, Pengerusi KKJA Jimmy Goh berkata, pihaknya turut menghargai pasukan dari Tabung Darah HQEII yang sentiasa memberikan sokongan kepada kempen seumpamanya.

“KKJA juga berterima kasih kepada semua penaja yang sudi menyokong Kempen Derma Darah KKJA 2023.

“Pandemik COVID-19 sebelum ini telah menyebabkan hospital kekurangan bekalan darah, KKJA percaya dengan usaha seumpamanya, KKJA mampu membantu masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur Stephanie Lee turut merakamkan penghargaan terima kasih semua pihak yang turut sama menjayakan kempen derma darah itu.

“Menyelamatkan nyawa adalah lebih penting dan kempen derma darah yang dianjurkan ini sudah pasti akan dapat membantu menyelamatkan ramai pesakit yang memerlukan bekalan darah dalam kadar segera,” katanya.

Antara penaja yang turut menjayakan kempen ini termasuklah Cha Yi Trading Sdn Bhd, Dong Sin Food Sdn Bhd, Wah Yoon Trading Sdn Bhd, Kim Teck Cheong Consolidated Berhad, PickNPay, UNE Trading Sdn Bhd, MYXO Company Sdn Bhd, KK Garden Seafood, Suria Capital Holdings Berhad, AI Chicken Rice Shop, Jambu King, K2 Water Sdn Bhd dan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular