KOTA KINABALU: Seramai 240 orang termasuk ibu bapa dan guru menghadiri Seminar Keibubapaan Madani 2023 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Ahmadshah pada Sabtu.
Majlis perasmian penutupan seminar disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Perancangan dan Pengurusan Daerah (SPPD) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Mohd Zaini Yanin.
Antara pengisian program termasuklah Pembentangan Strategik Pembangunan Kecemerlangan Anak: Headcount oleh Yang Dipertua PIBG SMKA Tun Ahmadshah, Mazlan Daiman.
Forum yang membincangkan mengenai ‘Keluarga Madani, Pemangkin Anak Baik Lagi Cerdik (ABC)’ dikongsikan oleh tiga ahli panel forum daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) antaranya Timbalan Dekan Akademik Dan Antarabangsa Fakulti Pengajian Islam, Dr Issraq Ramli, Profesor Madya Fakulti Psikologi dan Pendidikan, Prof Madya Dr Muhamad Suhaimi Taat dan Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Ustaz Md Razali Saibin.
Manakala Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Islam UMS, Dr. Zaifuddin Md Rasip sebagai Moderator Forum.
Sementara itu, Pengetua SMKA Tun Ahmadshah Rosnani Sidin berkata, objektif seminar yang diadakan itu adalah bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada ibu bapa tentang kepentingan pengurusan headcount bagi memastikan kecemerlangan akademik anak-anak.
“Selain meningkatkan kemahiran keibubapaan dalam memantapkan institusi kekeluargaan ke arah kesejahteraan dan kegemilangan.
“Seterusnya mengeratkan lagi hubungan antara ibu bapa dan guru di sekolah,” katanya kepada Sabah Media hari ini.
Sehubungan dengan itu, Rosnani turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak PIBG, Ahli Panel Forum dari UMS, Moderator Forum, pihak JPNS dan mereka yang menjayakan program tersebut.