HomeUtamaDUN Sabah : KSTI terus laksana pelbagai program perkasa budaya STEM di...

DUN Sabah : KSTI terus laksana pelbagai program perkasa budaya STEM di Sabah

Read Time:2 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu : Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dengan kerjasama pelbagai agensi negeri dan persekutuan telah melaksanakan pelbagai program dalam pemerkasaan dan pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ia adalah bertujuan bagi menarik minat pelajar dan seterusnya menepis persepsi bahawa sains itu adalah mata pelajaran yang susah.

Katanya, program ini juga secara tidak langsung akan meningkatkan lagi kesedaran semua lapisan masyarakat termasuk ibu bapa, guru-guru dan komuniti mengenai kepentingan pendidikan STEM dan kerjaya STEM.

“Kementerian telah memberikan peruntukan berjumlah RM250,000 bagi menjayakan Program STEM Fiesta di kesemua 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). STEM FIESTA telah dilancarkan pada 16 Mei lalu di Beaufort dan akan ditutup pada 7 September 2023 di Ranau.

“Didapati penglibatan pelajar dan guru amatlah mengalakkan dan setiap daerah merekodkan penglibatan seramai 600 hingga 1000 orang.

“Kementerian juga turut memperkasakan peranan Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) dengan mewujudkan Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) di Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Keningau dengan kos keseluruhan RM3 juta dan dijangka akan beroperasi penghujung tahun 2023.

“Kementerian juga telah berjaya mendapatkan persetujuan pembinaan Pusat STI Tawau dan Pusat STI Sandakan yang bernilai lebih daripada RM10.2 juta daripada PETRONAS. Selain itu, kementerian turut merancang melaksanakan satu projek berimpak tinggi iaitu pembinaan Pusat Sains Sabah di Kota Kinabalu,” katanya.

Menurutnya, Pusat Sains ini akan merangkumi elemen pembelajaran secara interaktif mengenai Sains, Planetarium, Pusat Penyelidikan Saintifik, Kecerdasan Buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), Robotik dan Ketamaduan Sains Islam.

Sementara itu, Arifin berkata, kementerian juga telah menandatangani Memorandum Perjanjian dengan Guangzi Science and Technology Museum dan melalui kerjasama ini, Kerajaan Republik China bersetuju untuk menempatkan lebih kurang 60 buah bahan pameran sains bergerak untuk ditempatkan di PNS seluruh Sabah selama tiga tahun.

Katanya, pameran ini dijangka tiba dan ditempatkan di PNS Tanjung Aru pada bulan September ini.

Dalam pada itu, Arifin berkata, di antara program pemerkasaan STEM yang telah dilaksana dan dalam perancangan Kementerian bersama rakan-rakan strategik adalah seperti Majlis Anugerah Sains Sabah 2023; Karnival Sains Sabah 2023; STEM Fiesta  dan Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sabah.

“Selain itu, turut diadakan Kembara Sains Borneo; PLUS- STEM (Program Lonjakan STEM); Mini Theater STEM; STEM Speaker Series; Sabah National Science Challenge; Malaysia Techlympics Zon Sabah,” katanya.

Arifin berkata, kementerian turut mengambil langkah proaktif sebagai usaha untuk mewujudkan suasana pembelajaran sains yang kondusif dengan memberi peruntukan sebanyak RM600,000 pada tahun ini bagi menaiktaraf 14 buah makmal sains sekolah menengah dan mewujudkan 16 buah sudut sains sekolah rendah.

Katanya, kementerian juga akan mengenalpasti beberapa syarikat untuk membantu membina sudut-sudut sains dan makers space di sekolah -sekolah.

“Melalui pelbagai inisiatif Kementerian dan sokongan daripada pelbagai pihak, Kementerian yakin kadar penglibatan pelajar STEM akan mencapai 30 peratus pada penghujung tahun ini dan melepasi 40 peratus pada tahun 2025,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Pembentukan Malaysia Khamis depan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular