HomeUtamaKerajaan laksana 3 fasa penuhi keperluan pengguna

Kerajaan laksana 3 fasa penuhi keperluan pengguna

Read Time:4 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Perancangan dan Pelaksanaan Pembekalan Elektrik dan Tarif (JPPPET) Sabah telah meluluskan Pelan Pembangunan Penjanaan (PDP) pada 12 Jun lalu bagi memenuhi keperluan permintaan pengguna.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Pelan Pembangunan Penjanaan itu telah mengambil kira, pertumbuhan organik.

Katanya, ia merupakan unjuran penambahan keperluan beban yang lazim yakni peningkatan pengguna domestik dan pengguna kategori lain yang kecil, selain keperluan beban ‘Step Load’ oleh pengguna dari industri besar yang komited.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bongawan Dr Daud Yusof bertanya mengenai hala tuju penambahan kapasiti penjanaan tenaga elektrik di Sabah berbanding permintaan pengguna dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Rabu.

Nizam berkata, untuk memenuhi permintaan pengguna, strategi perancangan di dalam Pelan Pembangunan Penjanaan adalah dibahagi kepada tiga fasa iaitu Fasa Penyelesaian Segera (2023 – 2025), Fasa Penyelesaian Jangka Sederhana (2026 – 2030) dan Fasa Penyelesaian Jangka Panjang (Selepas 2030).

Jelas beliau, Fasa Penyelesaian Segera (2023 – 2025) adalah untuk mencapai jidar simpanan penjanaan (Generation Spare Capacity) ke tahap kukuh iaitu 30 peratus. Dengan erti kata lain, simpanan penjanaan perlu mempunyai lebihan 30 peratus (sekitar 300 Megawatt) berbanding beban maksima grid Sabah (yang kini telah mencecah hampir 1,100 Megawatt).

“Untuk tujuan ini, beberapa projek fast-track telah diputuskan termasuk projek penyewaan powership berkapasiti 224 Megawatt yang akan beroperasi di pantai timur Sabah pada penghujung tahun ini. Manakala, pelbagai tindakan mitigasi yang lain sedang dan akan dilaksanakan bagi meningkatkan tahap kebolehharapan loji jana kuasa sedia ada,” katanya.

Manakala Fasa Penyelesaian Jangka Sederhana (2026 – 2030) beliau berkata, ia adalah antara lain melibatkan penambahan kapasiti penjanaan daripada sumber hidro berjumlah sekitar 400 Megawatt, projek solar berskala besar berjumlah 100 Megawatt dan lain-lain projek penjanaan.

“Di samping itu terdapat juga projek talian penghantaran utama 275 kiloVolt iaitu penyiapan talian penghantaran sambung tara grid Sabah dengan Sarawak dan projek talian penghantaran Southern Link yang akan menghubungkan Sipitang dengan Tawau.

“Ini akan mengukuhkan kapasiti dan kestabilan grid Sabah untuk menerima permintaan beban besar terutamanya pengguna–pengguna industri pada masa akan datang,” jelasnya.

Bagi Fasa Penyelesaian Jangka Panjang (Selepas 2030), beliau berkata, ia adalah tertumpu kepada mempertingkatkan potensi hidro elektrik di negeri Sabah melalui hasil kajian Pelan Pembangunan Hidro yang sedang dilaksanakan oleh Energy Commission of Sabah (ECoS).

“Di samping itu, penerokaan ke atas teknologi dan sumber penjanaan baharu akan juga dilaksanakan seperti Geothermal, Wind, Hydrogen dan Battery Energy Storage System (BESS).

“Perancangan sambung tara talian penghantaran di antara Sabah dan Kalimatan Utara akan juga diterokai berdasarkan hasil kajian kebolehlaksanaan yang akan dibuat pada tahun ini,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Nizam turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengambil alih kuasa kawal selia Pembekalan Elektrik dan Tenaga Boleh Baharu pada 3 Januari 2024 melalui Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) dan seterusnya pewartaan Enakmen Bekalan Elektrik 2024, Enakmen Tenaga Boleh Baharu 2024 serta pindaan Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah (dengan tambahan fungsi kawal selia elektrik dan tenaga boleh baharu) pada hari tersebut.

Sementara itu Adun Dilantik Datuk Jaffari Waliam mengajukan soalan tambahan sejauh mana powership ini boleh dijadikan penyelesaian kepada penambahan kapasiti penjanaan elektrik.

Nizam berkata, penyewaan Powership adalah penyelesaian tuntas dan terpantas untuk membolehkan penambahan kapasiti penjanaan sebanyak 200 Megawatt kerana set penjanakuasa di atas kapal (powership) adalah tersedia dan boleh dipasang di mana-mana lokasi dengan pantas tanpa keperluan tapak.

Beliau turut menjelaskan maklumat mengenai Karpowership Global DMCC.

“Syarikat Karpowership Global DMCC adalah syarikat daripada negara Turkiye. Karpowership ialah pemilik, pengendali dan satu-satunya pembina Powership™ (loji janakuasa terapung) di dunia.

“Mereka memiliki dan mengendalikan 36 Powership dengan kapasiti terpasang melebihi 6,000 Megawatt, menyediakan tenaga yang boleh diharap kepada 15 negara berbeza yang merangkumi 4 benua,” jelasnya.

Jelas beliau lagi,
kedua-dua buah Powership dengan kapasiti 224 Megawatt boleh dihantar dan dimula tugas secara komersial dalam tempoh dua bulan setelah kontrak dimeterai, tertakluk bahawa semua permit, lesen dan kelulusan pihak berkuasa telah diperolehi dan diselaraskan oleh pihak yang terbabit.

“Cadangan lokasi adalah di Pantai Timur Sabah iaitu di Pencawang Masuk Utama (PMU) Warisan yang terletak di POIC Lahad Datu dan di PMU Seguntor yang terletak di POIC Sandakan dengan tempoh penyewaan selama 5 tahun.

“Stesen Pencawang untuk meningkatkan voltan kepada 132 kiloVolt juga tersedia di atas kapal. Talian 132 kiloVolt ke Pencawang Masuk Utama SESB lengkap dengan alat suis adalah di bawah tanggungjawab Karpowership.

“Powership tersebut mengguna pakai reciprocating engines berasaskan bahan bakar Heavy Fuel Oil (HFO) yang akan diuruskan oleh Karpowership dan terdapat tangki minyak di dalam kapal bagi keperluan penjanaan kuasa elektrik.

“Penggunaan bahan api HFO adalah lebih murah berbanding penggunaan bahan api diesel dan ianya juga akan menyelesaikan isu bekalan gas asli yang kini juga diperlukan oleh industri perkilangan yang pesat membangun di negeri Sabah,” katanya.

Manakala menjawab kepada soalan tambahan daripada Adun Darau, Azhar Matussin mengenai fasa pertama adakah Kerajaan Negeri mengambil kira keperluan para pelabur yang datang dari luar negeri.

Nizam berkata, fasa pertama itu mengambil kira keperluan itu kerana ketidakcukupan energy supply (bekalan tenaga) ini memberi kesan yang tidak baik kepada kita.

RELATED ARTICLES
Utama

Hentikan fitnah, Musa Aman pilihan tepat sebagai TYT Sabah – Yahya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular