HomeUtamaKeselamatan di ESSZone semakin baik, diyakini masyarakat dan pelancong

Keselamatan di ESSZone semakin baik, diyakini masyarakat dan pelancong

Read Time:1 Minute, 41 Second

Lahad Datu : Keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) semakin diyakini bukan sahaja oleh masyarakat setempat malah jumlah pelancong tempatan dan asing yang tiba juga terus mencatat peningkatan yang baik.

Komander Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, ini terbukti apabila seramai 54,795 orang telah melancong dan berkunjung ke ESSZone bagi Julai tahun ini berbanding 31,619 orang pada Julai tahun lalu.

Katanya, peningkatan itu ditunjukkan oleh jumlah kemasukan pelancong asing pada Julai lalu iaitu seramai 43,021 orang berbanding 9,478 orang pada bulan yang sama tahun lalu.

“Peningkatan jumlah kemasukan pelancong tempatan dan asing ke pusat-pusat peranginan di ESSZone adalah kerana tahap keyakinan masyarakat terhadap keselamatan di ESSZone semakin baik.

“Ini membuktikan penubuhan ESSCOM sejak 2013 adalah relevan kerana ESSCOM berjaya mengkoordinasikan bukan sahaja operasi keselamatan malah program gerak saraf dan tindakan awam dengan komuniti setempat yang telah menyemai dan mengembalikan kepercayaam terhadap keselamatan di ESSZone,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘Media Engagement’ Pertandingan Menembak ESSCOM 2023 bersama-sama Pengamal Media di ESSZone di sini semalam.

Selain itu, Victor berkata, pelbagai langkah telah diambil termasuk mengkaji serta merangka semula penstrukturan usaha untuk memperkukuh kestabilan keamanan serta kedaulatan ESSZone.

“Kita akan merangka dan mengkaji serta meneruskan usaha untuk memperkukuhkan lagi kestabilan, keamanan dan juga kedaulatan kawasan ESSZone supaya kepercayaan kepada rakyat asing terutamanya pelancong yang memang suka dan senang datang ke Sabah untuk mengadakan aktiviti pelancongan.

“Selain itu para rakyat asing atau pelancong juga dapat melaksanakan aktiviti-aktiviti perniagaan serta dapat memberikan bantuan pertumbuhan ekonomi di kawasan ini,” katanya.

Tambahnya, penambahan keanggotaan juga sedang giat dijalankan bagi mengkoordinasi semua aset yang ada di kawasan ESSZone selain bertujuan untuk memastikam keselamatan awam dan pelancong dapat dizahirkan.

“Pertambahan keanggotaan ini ada kaitan sedikit tapi yang paling pentingnya koordinasi sebab ESSCOM akan koordinasikan semua aset-aset yang ada di ESSZone termasuk daripada aset polis, aset ATM, APMM dan juga aset-aset yang ada pada agensi-agensi lain untuk kita koordinasikan, kita susun aturkan supaya keselamatan para pelancong ini dapat dizahirkan,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Sambutan Hari Malaysia disifatkan bawa makna besar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular