KOTA KINABALU: Aktiviti pasar minggu (tamu) dan pasar malam kini semakin mendapat sambutan bukan sahaja dari kalangan masyarakat tempatan tetapi juga para pelancong yang berkunjung ke negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew sedar tentang keperluan untuk menyediakan prasarana dan kemudahan pelancongan di negeri ini dan khususnya Bandaraya Kota Kinabalu.
Beliau berkata, tarikan Kota Kinabalu sebagai pusat pelancongan mula menyerlah kembali dengan ketibaan para pelancong ke Sabah yang kini dianggarkan seramai 1 juta orang pada enam bulan pertama tahun 2023.
“Sehubungan itu, lebih banyak gerai tambahan untuk aktiviti pasar malam akan diwujudkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Antaranya ialah pembukaan blok C dan Blok D sebagai tambahan kepada ruang di Api-Api Night Food Market yang sekarang ini hanya melibatkan blok A dan B sahaja.
“Pembukaan kawasan ini dijangka boleh memuatkan tidak kurang dari 50 gerai baharu sebagai tambahan kepada gerai sedia ada iaitu sebanyak 95 buah,” katanya pada sidang media di ruang legar bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas menghadiri Persidangan DUN, di sini pada Selasa.
Dalam masa yang sama, Christina turut mendedahkan dua kawasan pasar malam baharu dikenalpasti iaitu Pasar Malam Bandaran Berjaya dan Pasar Malam D’Suang Sadong Jaya yang dijangka mula beroperasi pada penghujung bulan Ogos ini.
Menurutnya, Pasar Malam Bandaran Berjaya dijangka boleh memuatkan 30 gerai sementara Pasar Malam D’Suang pula dijangka boleh memuatkan 40 gerai.
“Manakala Pasar Malam Bandaran akan beroperasi pada pukul 5 petang hingga pukul 12 malam, setiap hari isnin sehingga khamis.
“Pasar Malam Bandaran akan memuat 30 gerai untuk permulaan dengan pelbagai jenis makanan dan minuman. Persembahan Buskers juga akan memeriahkan suasana.
“Sementara Pasar Malam D’Suang akan beroperasi setiap malam bermula pukul 6 petang sehingga 12 malam. Pasar Malan D’Suang akan memfokus kepada jualan buah buahan bermusim serta makanan berkonsep BBQ, persembahan buskers dan aktiviti kanak kanak akan turut menjadi tarikan awam,” katanya.
Beliau berharap kemudahan yang disediakan akan membantu peningkatan ekonomi para peniaga dan secara langsung memeriahkan lagi bandaraya Kota Kinabalu.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Mayor DBKK, Datuk Noorliza Awang, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Sr. Mohd Yusrie Abdullah Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Keselamatan Makanan, Peto Galim, Ketua Pengarah DBKK Junainah Abbie dan Timbalan Ketua Pengarah Perancangan dan Pembangunan DBKK Abdul Manaf Rajikan.