KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan semakan terkini kadar Pemberian Khas (Special Grant) di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan perlu dilaksanakan tahun ini sejajar komitmen Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengiktiraf hak 40 peratus Sabah.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keyakinan itu berdasarkan pendirian jelas Kerajaan Persekutuan yang mengiktiraf hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, komitmen berkenaan turut dizahirkan Perdana Menteri ketika sidang Dewan Rakyat pada 13 November 2025.
“Hari ini saya menyelaraskan Sesi Perbincangan Khas Berhubung Status Perkembangan Pelaksanaan Hak 40 Peratus Sabah bersama pimpinan utama GRS dan wakil Ahli Yang Berhormat Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC),” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini.

Menurutnya, sesi perbincangan itu turut disertai ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mengetuai delegasi negeri dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (JT-MTPMA63).
Armizan berkata, walaupun kes berkaitan hak 40 peratus Sabah masih dalam proses perundangan di Mahkamah Rayuan, GRS tetap berpendirian tegas supaya semakan baharu kadar Pemberian Khas dilaksanakan tahun ini dengan peningkatan kadar bagi 2026.
Katanya, pendirian Kerajaan Persekutuan ketika ini juga menunjukkan usaha memperbetulkan pendekatan pentadbiran terdahulu yang bukan sahaja gagal membuat semakan, malah pernah menyatakan di Parlimen bahawa hak 40 peratus Sabah telah terhenti berkuat kuasa.
“GRS dan Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor akan terus menggunakan platform rundingan yang diwujudkan bagi memastikan semakan kadar baharu Special Grant dapat mencapai angka jauh lebih tinggi sebagaimana hak dan syor yang dikemukakan secara rasmi.
“Sabah menuntut hak dan tambahan hasil ini untuk memperluaskan ruang fiskal negeri demi kesejahteraan rakyat dan lonjakan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan kadar Special Grant daripada hanya RM26.7 juta bagi tempoh 1974 hingga 2021 kepada RM600 juta setahun ketika ini telah membolehkan beberapa inisiatif baharu dilaksanakan kerajaan negeri.
Katanya, antara inisiatif yang diperkenalkan ialah Rumah Mesra SMJ dengan sebanyak 6,634 rumah siap dibina dan diduduki golongan miskin bagi tempoh 2022 hingga 30 April 2026.
Selain itu, Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu turut menyalurkan bantuan tunai bulanan kepada 140,000 ketua isi rumah miskin di seluruh Sabah.
Armizan berkata, dengan jangkaan peningkatan kadar Special Grant tahun ini, kerajaan negeri turut menyasarkan pelaksanaan beberapa inisiatif tambahan termasuk menaik taraf rangkaian sistem perpaipan air bagi menangani isu non-revenue water (NRW) serta pembinaan jambatan di seluruh negeri khususnya di kawasan luar bandar.



