KOTA KINABALU: Pembinaan Sistem Pemulihan Kecemasan (ERS) serta kerja penyambungan semua konduktor bagi memulihkan talian penghantaran elektrik yang terjejas di Pantai Timur Sabah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kejayaan itu hasil komitmen, kesungguhan dan pengorbanan seluruh warga kerja Sabah Electricity yang melaksanakan kerja-kerja pemulihan berkenaan.
Menerusi hantaran di Facebook petang ini, beliau merakamkan penghargaan kepada pasukan Sabah Electricity atas usaha memastikan kerja pemulihan dapat diselesaikan dengan lebih cepat, sekali gus membantu menangani gangguan bekalan elektrik yang menjejaskan rakyat di Pantai Timur Sabah.
Beliau turut memahami kesulitan yang dialami penduduk sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik serta mengucapkan terima kasih atas kesabaran, sokongan dan kerjasama rakyat yang terjejas.
Hajiji turut menghargai bantuan pelbagai agensi dan pihak terlibat, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Sabah Air Aviation Sdn Bhd, pihak pengurusan SK Sagindai Baru serta Majlis Keselamatan Negara Negeri Sabah.
Katanya, Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama rapat dengan Sabah Electricity bagi memastikan bekalan elektrik di Sabah lebih stabil, selamat dan boleh dipercayai demi kesejahteraan rakyat serta pembangunan negeri.



