TAWAU: Kerajaan Persekutuan perlu segera meluluskan peruntukan bagi pelaksanaan Projek Sabah Southern Madani Link Fasa 1B bagi memperkukuh rangkaian grid bekalan elektrik Sabah, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan berskala besar di kawasan Pantai Timur negeri itu.
Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, gangguan bekalan elektrik yang kini memasuki hari keempat melibatkan lapan daerah susulan runtuhan menara penghantaran di kawasan Ranau akibat bencana alam, memperlihatkan keperluan mendesak untuk memperkukuh infrastruktur penghantaran elektrik negeri.
Beliau berkata, insiden itu yang menjejaskan lebih 150,000 pengguna bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan seharian penduduk, malah turut mengganggu aktiviti ekonomi.
Katanya, kejadian berkenaan perlu dilihat secara serius dan tidak hanya dianggap sebagai insiden akibat bencana alam, sebaliknya perlu disusuli langkah penyelesaian jangka panjang bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.
“Kalau kita tengok jarak ataupun selang tempoh insiden yang lalu, September 2025 dengan sekarang November 2026, hanya dalam tempoh 15 bulan dan kesannya cukup besar mengganggu urusan harian rakyat serta aktiviti ekonomi.
“Jadi kita perlu mengambil perhatian tegas dan serius dalam pada kita menyebut bahawa ini merupakan satu insiden yang berlaku disebabkan oleh bencana alam,” katanya ditemui media selepas merasmikan Program Sentuhan Kasih dan Jualan Rahmah Madani Tawau di Tapak Tamu Desa, Kampung Budaya Pasir Putih, di sini hari ini.
Turut hadir Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal.
Armizan berkata, penyelesaian yang dikenal pasti adalah melengkapkan rangkaian grid bekalan elektrik Sabah melalui pembinaan Southern Link, memandangkan penghantaran bekalan elektrik dari Pantai Barat ke Pantai Timur ketika ini bergantung kepada satu laluan utama iaitu East-West Link dari Penampang hingga Segaliud, Papar.
Menurutnya, sekiranya berlaku gangguan pada laluan penghantaran itu, kesannya akan melibatkan kawasan yang luas, sekali gus menjadikan pembinaan Southern Link sebagai keperluan kritikal.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, Projek Sabah Southern Madani Link Fasa 1A sepanjang kira-kira 60 kilometer dari Mengalong, Sipitang hingga Ulu Padas sudah dimulakan pada September tahun lalu dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, iaitu September 2028.
Tambah beliau lagi, pelaksanaan Fasa 1A itu hasil kelulusan pinjaman mudah oleh Kerajaan Persekutuan tahun lalu susulan permohonan Kerajaan Sabah bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Bagaimanapun, Armizan berkata, Fasa 1B yang merupakan sambungan rangkaian dari Ulu Padas hingga Tawau masih belum mendapat keputusan Kerajaan Persekutuan, walaupun kos pelaksanaannya dianggarkan kira-kira RM1.4 bilion.
“Kita tidak wajar untuk tunggu lagi siapnya 1A baru buat 1B. Ia perlu segera diputuskan. Kerajaan Persekutuan kita rayu sangat-sangat supaya memutuskan segera peruntukan untuk Fasa 1B supaya ia boleh mula dilaksanakan segera, supaya tarikh siap pun lebih kurang sama dengan kawasan Fasa 1A,” katanya.
Beliau berharap, peruntukan bagi Fasa 1B dapat diluluskan segera tanpa perlu menunggu Fasa 1A selesai, bagi membolehkan kedua-dua fasa dilaksanakan dalam tempoh yang hampir sama.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum ini turut mengusulkan supaya Projek Southern Link dijadikan projek alternatif kepada Projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP) yang dibatalkan pada 2018.
Armizan berkata, rundingan untuk menghidupkan semula projek TSGP pernah dilakukan sejak 2021, namun Kerajaan Sabah tidak bersetuju berikutan isu berkaitan pengurusan, pelaksanaan dan pembayaran projek berkenaan.
Sebaliknya, katanya, Kerajaan Sabah mencadangkan supaya Southern Link diberi keutamaan kerana lebih kritikal dalam memenuhi keperluan bekalan elektrik negeri.
Beliau turut merujuk kepada pengumuman terbaru Kerajaan Persekutuan berhubung kelulusan Skim Bekalan Air Perak Utara sebagai projek gantian kepada TSGP dan Multi-Product Pipeline (MPP) yang dibatalkan sebelum ini.
Sehubungan itu, beliau berharap Sabah turut mendapat projek gantian yang memberi manfaat kepada negeri, khususnya melalui kelulusan pelaksanaan Southern Link Fasa 1B.
“Kalau di Perak boleh diluluskan sebagai gantian, maka Projek Sabah Southern Madani Link 1B ini adalah projek yang cukup kritikal dijadikan projek gantian kerana perlu juga memanfaatkan Sabah.
“Peruntukan TSGP dan MPP dulu sebahagiannya adalah untuk Sabah pada masa itu. Jadi kita rayu sangat-sangat kepada Kerajaan Persekutuan untuk mempertimbangkan dan meluluskan segera peruntukan untuk pelaksanaan Fasa 1B Projek Sabah Southern Madani Link,” katanya.
Ditanya sama ada Fasa 1B turut dicadangkan melalui kaedah pinjaman mudah, Armizan berkata perkara itu bergantung kepada pertimbangan Kerajaan Persekutuan, namun yang lebih penting ialah peruntukan bagi projek berkenaan diluluskan.
Katanya, SESB tidak mempunyai masalah sekiranya pembiayaan diberikan melalui pinjaman mudah, namun pemberian geran adalah lebih baik memandangkan syarikat utiliti itu turut mempunyai pelbagai keperluan lain.



