KOTA KINABALU: “Saya kesal tidak sempat menunaikan janji untuk membelikan sepasang kasut kepada arwah atok untuk dipakai ketika menghadiri majlis konvokesyen hari ini,” kata Rozalina Ng Sin Su, 23.
Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, hasrat untuk menghadiahkan kasut kepada insan yang banyak berjasa dalam kehidupannya itu tidak kesampaian, sekali gus menjadi kenangan menyentuh hati ketika dia menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UMS ke-28 di Dewan Canselor, hari ini.
Anak kelahiran Kudat itu berjaya meraih Ijazah Kelas Pertama dalam bidang Hubungan Industri dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.72.

Meskipun berbangga dengan kejayaan yang diraih, Rozalina mengakui kehilangan arwah Datuk ketika pengajiannya hanya berbaki dua semester menjadi antara detik paling sukar yang terpaksa dilaluinya.
“Sudah tentu hari ini saya gembira kepada dapat menamatkan pengajian dengan baik. Tetapi cabaran paling berat adalah kehilangan arwah atok yang banyak menjaga saya selepas kedua ibu bapa saya meninggal.
“Sepanjang saya dijaga oleh atok, arwah tidak pernah hadir ke mana-mana majlis graduasi atau konvokesyen saya terasa dia rasa rendah diri. Ini termasuklah tiada pakaian sesuai untuk datang.

“Setiap kali ambil kad laporan atau konvokesyen SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), dia tidak pernah datang. Itu antara cabaran dan kenangan saya yang tidak saya lupakan sehingga hari ini,” katanya.
Berikutan itu, Rozalina yang kehilangan ibu pada usia 9 tahun dan ayah pada usia 10 tahun bertekad untuk membelikan sepasang kasut kepada arwah Datuk ketika pengajiannya masih berbaki dua semester.
Katanya, arwah Datukya telah kembali ke Rahmatullah pada 29 Mac 2025 ketika umat Islam berpuasa.
“Berbaki dua semester sebelum menamatkan pengajian, arwah atok beberapa kali meluahkan kebimbangannya tentang kasut yang akan dipakainya pada hari konvokesyen saya kelak.
“Saya masih ingat bagaimana saya berjanji kepadanya bahawa saya akan membelikan sepasang kasut untuknya. Saya fikir masih ada masa. Masih ada peluang untuk saya menunaikan janji itu selepas tamat pengajian.
“Namun, saya tidak pernah menyangka bahawa janji sekecil itu akhirnya menjadi sesuatu yang paling saya kesalkan kerana tidak sempat ditunaikan.
Mengimbau hari yang selama ini dinantikan, Rozalina berkata, kejayaan menggenggam ijazah hari ini turut diselubungi kesedihan kerana ibu, bapa dan arwah atok yang paling ingin dikongsikan pencapaian itu sudah tiada di sisi.
“Tiada ibu untuk saya peluk, tiada bapa untuk saya tunjukkan kejayaan dan tiada arwah datuk untuk saya pakaikan kasut yang pernah saya janjikan. Saya berjaya sampai ke hari yang selama ini kami nantikan, tetapi insan yang paling ingin saya bawa bersama sudah tiada lagi di sisi.
“Saya ingin membawanya bergambar bersama saya, sekurang-kurangnya sekali, dengan memakai pakaian dan kasut yang selama ini menjadi kerisauannya. Namun, saya perlu menerima bahawa ada janji yang tidak sempat ditunaikan dan ada kebahagiaan yang hanya mampu kita kenang melalui doa dan ingatan,” katanya.
Bagi Rozalina, ijazah yang diraih bukan sekadar pengiktirafan akademik, sebaliknya hasil pengorbanan seorang Datuk yang membesarkannya dalam serba kekurangan, dengan kasih sayang yang tidak pernah putus serta perjuangan untuk tidak menyerah kepada kehidupan.
“Walaupun saya tidak berpeluang menunjukkan kejayaan ini kepada ibu, bapa dan arwah datuk, saya berharap segala usaha ini menjadi hadiah buat mereka yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.
“Saya tidak sempat membawa arwah datuk ke hari konvokesyen seperti yang pernah saya janjikan. Namun, setiap langkah yang membawa saya sehingga ke hari ini adalah hasil daripada pengorbanannya.
“Segenggam ijazah ini mungkin berada di tangan saya, tetapi kejayaan ini adalah milik kami bersama,” katanya. – SABAH MEDIA



