Kota Kinabalu : Rekod bersih tanpa kalah Sabah FC di laman sendiri akhirnya lebur apabila tewas 1-5 keatas Johor Darul Ta’zim (JDT) FC pada aksi saingan Liga Super di Stadium Likas malam ini.
Sabah FC memulakan aksi babak pertama dengan garang dan pantas apabila terus melancarkan beberapa serangan bertali arus sebelum tuan rumah berjaya mendapat gol awal menerusi sepakan deras Muhammad Jafri Chew pada minit ke-13.
Gol awal Sabah FC itu adalah hasil hantaran cantik pemain import tuan rumah Telmo Castanheira seterusnya berjaya menewaskan penjaga gol JDT FC Ahmad Syihan Hazmi menjadikan Sabah mendahului 1-0.
Empat minit berselang, tuan rumah dikejutkan dengan gol penyamaan pasukan pelawat menerusi sepakan Juan Muniz pada minit ke17 selepas menerima bola hasil sepakan sudut menjadikan kedudukan berubah 1-1.
Bagaimanapun, penyokong Sabah FC yang memenuhi Stadium Likas dikecewakan apabila pasukan pelawat berjaya menambah gol kedua menerusi sepakan penalti yang berjaya disempurnakan Bergson Da Silva pada minit ke-25 selepas pemain JDT FC sebelum itu dijatuhkan dalam kotak penalti.
Babak kedua bersambung, tuan rumah terus dikecewakan apabila JDT FC berjaya menambah gol ketiga menerusi sepakan Heberty Fernandes pada minit ke-48 menjadikan pasukan pelawat mendahului 3-1.
Penyerang import JDT FC, Bergson terus mengecewakan penyokong tuan rumah apabila berjaya menambah gol keempat pasukan pelawat selepas menerima bola hantran Juan Muniz pada minit ke-62 membolehkan skuad kendalian Solari Esteban selesa didepan dengan jaringan 4-1.
Bergson sekali lagi berjaya menambah gol kelima JDT FC pada minit ke-73 selepas menerima bola hantaran pendek dari Heberty menjadikan Bergson merekodkan hatrik pada perlawanan ini.
Keputusan 5-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan menjadikan Sabah FC kekal ditangga kelima liga dengan mengutip 36 mata dan JDT kekal ditangga teratas liga dengan mungutip 57 mata.
Sabah FC akan meneruskan aksi liga bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC pada 13 Ogos ini di Stadium Likas.
Sebagai rekod, perlawanan pusingan pertama sebelum ini menyaksikan JDT menewaskan Sabah 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada April lalu. – SABAH MEDIA