HomeUtamaDUN Sabah: KDNK Sabah catat peningkatan 3.7 peratus tahun 2022

DUN Sabah: KDNK Sabah catat peningkatan 3.7 peratus tahun 2022

Read Time:2 Minute, 34 Second

KOTA KINABALU: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2022, berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai ditambah sebanyak RM81.9 bilion berbanding tahun 2021, RM79 bilion.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata, pada masa ini, data rasmi terkini bagi KDNK negeri Sabah adalah setakat tahun 2022 sahaja. Data rasmi ini telah diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 27 Jun 2023.

“KDNK Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus pada tahun 2022, berbanding 1.5 peratus pada tahun sebelumnya, dengan nilai ditambah sebanyak RM81.9 bilion (2021: RM79.0 bilion).

“Pertumbuhan positif ini didorong oleh peningkatan ketara dalam sektor perkhidmatan yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK Sabah, iaitu sebanyak 49.5 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM40.6 bilion,” katanya semasa sesi jawab lisan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Khamis.

Abidin berkata demikian bagi menjawab soalan yang diutarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik Datuk Hassan A Gani Pg. Amir mengenai bidang industri utama yang menyumbang kepada pendapatan negeri Sabah setakat suku pertama bagi tahun 2023 dan memohon menyenaraikan Industri tersebut mengikut peratusan pendapatan negeri secara keseluruhannya.

Menurut Abidin, pertumbuhan sektor perkhidmatan sebanyak 8.6 peratus telah dipacu oleh peningkatan prestasi subsektor utama iaitu subsektor perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan, diikuti sektor perkhidmatan kerajaan dan sektor utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

Katanya, meskipun menjadi penyumbang kedua terbesar kepada keseluruhan KDNK Sabah, iaitu sebanyak 24.8 peratus dengan nilai ditambah sebanyak RM20.3 bilion, sektor perlombongan dan pengkuarian menunjukkan penurunan pertumbuhan sebanyak negatif 1.3 peratus pada tahun 2022, berbanding 3.2 peratus tahun sebelumnya.

“Penguncupan sektor ini dipengaruhi oleh penyusutan subsektor utamanya iaitu minyak mentah dan kondesat kepada negatif 4.4 peratus dan subsektor gas asli sebanyak 8.4 peratus.

“Sektor pertanian Sabah pula mencatatkan nilai ditambah berjumlah RM12.5 bilion pada tahun 2022, iaitu merosot sebanyak negatif 0.2 peratus. Walau bagaimanapun, pertumbuhan sektor ini lebih baik daripada penyusutan negatif 2.2 peratus seperti yang direkodkan pada tahun sebelumnya,” jelasnya.

Tambah beliau, sektor pertanian merupakan sektor ketiga terbesar di Sabah dengan sumbangan sebanyak 15.2 peratus kepada keseluruhan KDNK Sabah.

“Subsektor tanaman kelapa sawit mendominasi sektor pertanian di Sabah dengan sumbangan sebanyak 9.6 peratus daripada keseluruhan KDNK Sabah, diikuti subsektor perikanan (2.5 peratus), tanaman-tanaman lain (1.3 peratus) dan ternakan (1.0 peratus).

“Sektor pembuatan merekodkan pertumbuhan negatif 2.5 peratus dengan penurunan dalam nilai ditambah kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.9 bilion pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau turut menjelaskan penyusutan dalam sektor ini adalah disebabkan oleh penguncupan dalam subsektor minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan, prosesan makanan, minuman dan produk tembakau serta subsektor produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan.

“Manakala sektor pembinaan bertumbuh pada kadar 6.2 peratus berbanding 7.9 peratus pada tahun sebelumnya.

“Nilai ditambah sektor ini mencatatkan peningkatan kepada RM2.5 bilion berbanding RM2.4 bilion pada tahun 2021 yang disokong oleh prestasi yang konsisten dalam subsektor pembinaan pembangunan, kejuruteraan awam dan aktiviti pembinaan pertukangan khas,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular