HomeSukanSabah FC akur Harimau Selatan mempunyai pemain berkualiti

Sabah FC akur Harimau Selatan mempunyai pemain berkualiti

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee akur bahawa pasukan Johor Darul Ta`zim (JDT) FC mempunyai pemain yang berkualiti selain para pemain gagal mengawal permainan menyebabkan skuad Sang Badak tewas 1-5 pada aksi Liga Super di Stadium Likas malam tadi.

Katanya, kegagalan pemain Sabah FC untuk mengawal permainan terutama pada separuh masa kedua telah membuka ruang kepada Harimau Selatan untuk mendapat banyak peluang.

“Kita tewas sejurus selepas kita menjaringkan gol di mana selepas itu beberapa insiden berlaku kecederaan dan ‘movement of game’ bertukar. Banyak kecederaan serta kekasaran dan ini mengubah rentak permainan.

“Kita juga perlu akur di sini di mana pasukan JDT mempunyai pemain yang berkualiti. Kita gagal mengawal permainan pada separuh masa kedua terutama apabila kita cuba untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi mereka mendapat peluang yang lebih banyak daripada apa yang kita inginkan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan malam tadi.

Dalam aksi Liga Super malam tadi menyaksikan Sabah FC mendahului gol pada minit ke-12 hasil jaringan Jafri Firdaus Chew, sebelum dibalas jaringan bertalu-talu daripada pemain JDT hingga berkesudahan 5-1 pada akhir permainan.

Sabah FC juga bermain tanpa beberapa tonggaknya seperti Saddil Ramdani, Gary Steven Robbat dan Amri Yahyah berikutan mengalami kecederaan.

“Mereka mengalami kecederaan dan apabila kita mengalami kecederaan kita tidak boleh menurunkan pemain yang kita inginkan, namun apa yang ada dengan pemain sedia ada kita harus memberi mereka kepercayaan,” katanya.

Kim Swee juga mengakui ada jurang yang jelas di antara Sabah FC dengan JDT apabila bermain pada tahap yang tinggi seperti malam tadi.

“Apabila bermain pada tahap yang cukup tinggi, kita boleh lihat jurang antara pasukan kita dan juga pasukan yang terbaik buat masa ini.

“Apabila mereka menukar pemain, mereka mempunyai kualiti yang cukup banyak dan apabila kita mengalami kecederaan di situ kita nampak kelemahan kita dengan beberapa pemain yang dimasukkan tidak dapat mengekalkan rentak seperti mana pemain yang cedera,” katanya.

Sabah FC kini kekal ditangga kelima dengan mengutip 36 mata dan akan bertemu Kuala Lumpur City FC pada 13 Ogos ini di Stadium Likas. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
SukanUtama

Nguyen Anh Minh & Sieun Lee dinobatkan juara Kejohanan Golf Amatur...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular