Sipitang : Nilai ilmu pengetahuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat khususnya di negeri ini perlu sentiasa diamalkan selain menjadi fokus kepada gagasan Malaysia Madani.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif berkata, dua perkara itu menjadi tonggak utama bagi mencapai tamadun peradaban dan kemajuan negara.
“Saya tekankan dua perkara berhubung dengan gagasan Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri yang menjadi bahagian dari tema sambutan hari kebangsaan pada tahun ini yang merujuk kepada nilai ilmu pengetahuan dan juga perpaduan.
“Dua perkara ini amat penting yang mana usaha kita ke arah itu hendaklah menjadi asas dan fokus kerana ilmu pengetahuan dan perpaduan amatlah penting menjadi tonggak utama dalam kita mencapai tamadun peradaban dan kemajuan bagi negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Infiesta Integrasi dan Pelancaran Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Daerah Sipitang, di sini baru-baru ini.
Arifin berkata, Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik menjadi antara contoh kepada perpaduan yang sedia terjalin.
“Ini kerana kita terdiri daripada pelbagai agama, pelbagai suku kaum sub-sub etnik dan sebagainya bersatu di bawah satu bumbung negara kita yang tercinta Malaysia,” katanya.
Arifin yang juga Exco Komunikasi dan Digital Sabah berharap agar program Konvoi KMJG yang menggabungkan Sabah, Sarawak dan Labuan dapat menjana semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
“Mudah-mudahan program ini akan dapat menjana semangat rakyat yang mana setiap daerah yang dijelajahi oleh konvoi ini akan berkesan dan dapat menyampaikan mesej perpaduan mesej kemerdekaan dan mesej ilmu pengetahuan,” katanya.
Pada majlis tersebut, Arifin menyerahkan Jalur Gemilang kepada Pegawai Daerah, Awangku Raimy Pg Abd Rahman mewakili jabatan dan agensi negeri dan persekutuan di daerah berkenaan.