HomeUtamaKes denggi meningkat 4.7 peratus, dua kematian dilapor

Kes denggi meningkat 4.7 peratus, dua kematian dilapor

Read Time:1 Minute, 10 Second

BERNAMA

Putrajaya: Jumlah kes demam denggi meningkat 4.7 peratus kepada 2,542 kes pada Minggu Epidemiologi ke-31 (ME31) iaitu bagi tempoh 30 Julai hingga 5 Ogos, berbanding 2,427 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata dua kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan pada ME31.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dicatatkan setakat ini 71,193 kes berbanding 32,521 kes bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan 118.9 peratus atau 38,672 kes.

“Sejumlah 49 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan hingga kini berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Muhammad Radzi berkata bilangan lokaliti ‘hotspot’ pada ME31 menurun kepada 86 berbanding 93 pada minggu sebelumnya, dengan 69 lokaliti berada di Selangor, tujuh di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing tiga di Perlis dan Kedah serta masing-masing dua di Negeri Sembilan dan Sabah.

Beliau berkata survelan chikungunya pula merekodkan dua kes pada ME31 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya 147 kes, manakala bagi survelan zika sebanyak 1,862 sampel darah dan 129 sampel urin dijalankan saringan zika yang kesemuanya negatif.

Katanya cuaca panas berselang-seli dengan hujan merupakan keadaan yang kondusif untuk pembiakan nyamuk Aedes.

“Cara paling efektif untuk mengurangkan populasi nyamuk Aedes di persekitaran ialah memusnahkan tempat pembiakan serta meletakkan bahan pembunuh jentik-jentik dalam takungan air,” katanya. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular