HomeUtamaKehadiran 32 pelayar antarabangsa bukti perairan pantai timur Sabah selamat – ESSCOM

Kehadiran 32 pelayar antarabangsa bukti perairan pantai timur Sabah selamat – ESSCOM

Read Time:2 Minute, 23 Second

BERNAMA

Lahad Datu : Kehadiran 32 pelayar dari pelbagai negara bersama 12 kapal layar di perairan pantai timur Sabah adalah bukti kawasan itu selamat untuk dikunjungi, kata Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Victor Sanjos.

Beliau berkata hal itu adalah gambaran sebenar untuk sektor pelancongan di pantai timur Sabah.

“Kawasan pantai timur Sabah ini bukan sahaja cantik tetapi juga sangat selamat dengan adanya pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan.

“Kita berharap agar peserta (pelayar) dapat menceritakan keselamatan dan keindahan perairan ini kepada rakan mereka biar nanti lebih ramai lagi peserta yang akan mengikuti pelayaran seterusnya meneroka keindahan perairan Sabah,” katanya pada acara pelepasan pelayaran “Sail Malaysia Passage to the East” di sini semalam.

Seramai 32 pelayar dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Afrika Selatan, New Zealand, Kanada, Perancis termasuk Australia mengambil bahagian dalam pelayaran itu yang bermula di Kudat pada 26 Julai dan berakhir di Tawau pada 26 Ogos ini.

Sementara itu seorang pelayar Amerika Syarikat William Hirsch atau dikenali sebagai Kapten Build berkata kedatangan kumpulan pelayar itu di Lahad Datu sejak 10 Ogos lepas disambut mesra penduduk tempatan yang juga ringan tulang untuk membantu meskipun terdapat kekangan komunikasi.

“Dari Kudat ke sini (Lahad Datu) saya boleh beritahu anda kami berjalan-jalan melawat kawasan bandar di sini dan mereka yang kami temui memberikan senyuman dan menyapa kami walaupun mereka tidak mengenali kami dan mengucapkan Selamat Datang ke Malaysia … ia merupakan pengalaman manis dan keramahan yang tidak pernah saya rasakan sepanjang pengembaraan saya di mana-mana tempat di dunia,” katanya.

Beliau berkata sebagai seorang anggota polis yang mempunyai pengalaman selama 34 tahun di Amerika Syarikat, beliau melihat pasukan keselamatan di sini juga memberi pelindungan keselamatan terbaik kepada semua pelayar.

“Saya boleh kata berdasarkan pengalaman saya mereka di Esscom memang menjalankan tugas mereka, kami mempunyai sistem di dalam kapal kami yang dipanggil AIS yang membolehkan mereka menjejak kedudukan kami dan mereka tahu di mana kami berada setiap minit dan ada kalanya kami agak terpisah mungkin kira-kira lima atau 10 batu dan ada kapal yang di hadapan dan di belakang kami tapi masih lagi dalam kawalan mereka.

Ada satu ketika kami hampir masuk ke sempadan Filipina dan mereka (Esscom) masih memantau dan membetulkan (kedudukan) kami, jadi pemantauan yang terperinci dan perhatian kepada kami adalah sempurna, maksud saya tiada peluang untuk sesiapa memberikan masalah kepada kami, ia memang sempurna,” katanya.

Seorang lagi pelayar Amerika Syarikat Steve Kane melahirkan rasa gembira mengikuti program pelayaran itu yang disifatkan sebagai luar biasa.

“Saya amat bertuah untuk menyertai pelayaran ini, saya menetap di Las Vegas, Nevada Amerika Syarikat. Las Vegas merupakan ibu kota hiburan di dunia tetapi pantai-pantai adalah lebih baik di Sabah dari segala aspek pemandangan, cuaca, hidupan liar dan paling menarik sekali ialah orangnya, segalanya di sini melangkaui jangkaan dan saya berharap dunia dapat mengenali Sabah dengan segera dan ramai yang akan berkunjung ke sini dan menikmatinya,” katanya.  BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan galak lebih ramai golongan wanita ceburi bidang mencabar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular