HomeUtamaPerpaduan nikmat kemerdekaan yang tidak ternilai harganya - Dr Joachim

Perpaduan nikmat kemerdekaan yang tidak ternilai harganya – Dr Joachim

Read Time:2 Minute, 48 Second

RANAU: Hidup dalam perpaduan antara kaum dan etnik merupakan nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata, perpaduan itu perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam setiap insan agar nikmat daripada kemerdekaan Malaysia yang dikecapi ini dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa dan maruah menjadi taruhan.
 
“Marilah kita sama-sama melakarkan usaha berterusan bagi memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan dalam kalangan rakyat untuk melestarikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
 
“Jadikanlah tanah air kita ini sebagai sebuah negara yang bersatu padu, harmoni dan makmur dalam usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional,” katanya ketika merasmikan pelancaran program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2023 Negeri Sabah peringkat Daerah Ranau di Pentas Budaya Kundasang, di sini, hari ini.
 
Dr. Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan turut menyeru orang ramai agar membeli dan mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing.
 
“Buanglah sikap hanya menunggu dan mengharap pemberian Jalur Gemilang percuma daripada pihak kerajaan mahupun badan bukan kerajaan (NGO), setiap individu di negara ini perlulah mengubah persepsi bahawa hanya agensi kerajaan sahaja yang meraikan sambutan gah ini,” katanya.
 
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang mengingatkan semua agar lebih peka mengenai Jalur Gemilang di sekeliling mereka di mana sekiranya ada ternampak Jalur Gemilang yang telah lusuh atau koyak, ambillah inisiatif untuk membeli dan menggantikannya dengan yang baharu atau maklumkan kepada pemilik premis agar Jalur Gemilang tersebut dapat diturunkan dan ditukar baharu.
 
“Marilah kita bersama-sama untuk menerap mentaliti dan menyuntik sikap peduli dalam kalangan masyarakat supaya memandang tinggi dan menghormati Jalur Gemilang sebagai lambang identiti negara yang gah ini.
 
“Janganlah kita mengambil mudah perihal menjaga martabat identiti dan imej negara dan sama-samalah kita memelihara perpaduan sebagai sebuah keluarga besar Malaysia.
 
“Didiklah anak-anak kita akan kepentingannya supaya semangat cinta dan sayangkan negara bukan sahaja kepada generasi masa kini tapi juga kepada generasi yang akan datang,” ujarnya.

Dr. Joachim turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas khususnya kepada Jabatan Penerangan Negeri Sabah dan semua yang terlibat di atas usaha dan dedikasi dalam merancang, mengkoordinasi dan menzahirkan program hari ini.
 
“Saya juga difahamkan banyak pihak yang bersama-sama bekerjasama dalam menjayakan program ini termasuklah Jabatan dan Agensi di bawah Kementerian Komunikasi Dan Digital, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Imigresen,  Pejabat Daerah Ranau (PDR), Majlis Daerah Ranau (MDR),  Agensi Anti Dadah Kebangsaan Ranau (AADK), Angkatan Pertahanan Awam (APAM), Pusat Ekonomi Digital (PEDi), Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar Kundasang (JKDB) dan lain-lain. Syabas dan tahniah sekali lagi.
 
“Setinggi penghargaan diucapkan kepada Pegawai Daerah Ranau di atas penglibatan dan penyelarasan yang mantap dan padu dalam menjayakan program pada hari ini.

“Bersempena sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 bertemakan “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”, marilah kita bersama-sama menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam diri kita.
 
“Selaras dengan usaha menjadi Malaysia sebagai negara yang lebih makmur dan maju berteraskan kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat bertonggakkan enam Nilai Teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan; Kesejahteraan; Daya Cipta; Hormat; Keyakinan dan Ihsan.
 
“Marilah kita bersama-sama mencorak masa hadapan dan mengemudi Malaysia berlandaskan laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan.

Turut hadir Ahli Parlimen Ranau; Datuk Jonathan Yasin, Adun dilantik, Datuk Amisah Yassin; Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah, Jainisah Mohd Noor, Ketua-ketua Jabatan daerah Ranau serta pemimpin setempat.

RELATED ARTICLES
Utama

3 lemas, 3 lagi hilang dihanyut kepala air ketika hiking di...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya