Kota Kinabalu: Penerbit Universiti Malaysia Sabah (PUMS) menganjurkan Program Bicara Buku dan Bengkel ‘Scholarly Book Publishing & Scopus Journal’ sempena Pesta Buku Brunei (PBB) 2023, yang berakhir pada Selasa.
Program Bicara Buku dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei itu disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Penerbitan PUMS, Ainun Jamil.
Menurutnya, Program Bicara Buku itu menampilkan buku Diskalkulia, sebuah naskhah terbitan PUMS yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pembaca dan antara yang paling laris terjual.
“Program ini juga antara lain bertujuan mempromosikan buku-buku terbitan Penerbit UMS kepada warga Brunei khususnya yang datang berkunjung ke PBB,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ainun berkata, PUMS turut menganjurkan Bengkel ‘Scholarly Book Publishing & Scopus Journal’ selama dua hari dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
“Bengkel ini menampilkan dua penceramah jemputan iaitu mantan Pengarah Penerbit Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr. Roosfa Hashim; dan Pengarah Penerbit UMS, Profesor Madya Ts. Dr. Kenneth Teo Tze Kin.
“Bengkel ini bertujuan untuk mengembangkan keterampilan akademik dan profesional peserta serta mendorong kemajuan dalam penulisan ilmiah,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Kenneth berharap agar penyertaan PUMS dalam PBB dapat memberi manfaat kepada UMS sendiri dan masyarakat dalam hal pemasaran, penjualan, interaksi dengan pembaca, dan perkembangan industri penerbitan secara keseluruhan.
Bertemakan ‘Mari Membaca’, program yang diadakan sejak 5 Ogos itu disertai lebih 30 pempamer daripada penerbit dan institusi kerajaan, syarikat dan kedai buku tempatan serta perwakilan dan penerbit buku dari luar negara.
Majlis perasmian PBB disempurnakan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Darussalam, Dato Seri Setia Haji Nazmi Haji Mohamad. – SABAH MEDIA