HomeUtamaRumah Budaya kaum Kimaragang bakal dibina di Pitas

Rumah Budaya kaum Kimaragang bakal dibina di Pitas

Read Time:1 Minute, 53 Second

PITAS: Pembinaan Rumah Budaya etnik Kimaragang mampu memperkasa seni tradisi dan budaya etnik tersebut.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, peruntukan sebanyak RM200 ribu akan disalurkan kepada penyelaras Persatuan Kimaragang Sabah selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri.

“Peruntukan tersebut saya akan bawa kepada Ketua Menteri untuk di luluskan memandangkan Rumah Budaya tersebut sangat membantu dalam mengekal dan memperkenalkan seni, budaya dan tradisi etnik Kimaragang kepada masyarakat hari ini.

“Etnik ini punya bahasa pertuturan tersendiri selain kehebatan tradisi tinggalan lampau seperti jahitan serta anyaman baju-baju tradisi yang sangat kemas dan menarik.

 “Ukiran-ukiran pada rumah, alat-alat muzik juga sangat unik dan kebanyakan dihasilkan berasaskan daripada kehidupan mereka yang asalnya sebagai petani dan nelayan.

“Sangat merugikan sekiranya semua itu tidak dipelihara dan dipertahankan kerana adat resam dan budaya kita akan hilang sekiranya tidak diamalkan lagi oleh generasi muda.

“Kita juga akan menyediakan tapak sendiri kepada etnik Kimaragang pada sambutan Pesta Kaamatan di KDCA pada masa akan datang yang mana sebelum ini mereka bersama etnik Rungus, “katanya ketika di temui media selepas merasmikan Penutupan Pesta Moginakan Kimaragang Peringkat Negeri Sabah 2023 di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Presiden Persatuan Kimaragang Sabah, Datuk Sri Ruddy Awah meluahkan kegembiraan kerana Rumah Budaya tersebut sangat bermakna dalam mempertahan adat resam budaya etnik Kimaragang agar terus hidup dan dikenali.

“Rumah Budaya sangat penting untuk memperkenalkan budaya dan adat tradisi kita kepada masyarakat luar selain memeliharanya agar tidak pupus.

“Di Rumah Budaya, kita akan melaksanakan pelbagai aktiviti berkaitan amalan tradisi antaranya mengadakan kelas bahasa Kimaragang kepada generasi muda, menenun kain tradisi, menganyam tikar dan mengukir ukiran pada alat muzik juga peralatan-peralatan yang lain.

“Kita maklum, ramai etnik Kimaragang yang sudah berjaya di luar sana namun kita tidak mahu mereka lupa kepada adat tradisi dan budaya asal usul mereka, sebab itu kita kena bina Rumah Budaya yang menyimpan  tradisi, artifak dan adat resam kita turun temurun, “ujar beliau.

Ruddy turut memaklumkan, Pesta Kimaragang akan menjadi acara tahunan yang mana Daerah Tandek akan menjadi tuan rumah seterusnya pada tahun hadapan.

Turut hadir Pembantu Menteri Pertanian Dan Perikanan yang juga ADUN Tandek, Hendrus Anding, Presiden Pertubuhan Kimaragang Malaysia, Datuk Abdul Latiff Kandok dan Pegawai Daerah Pitas, Nahalan Mehdunah.

RELATED ARTICLES
Utama

Sentiasa peka dengan perubahan cuaca

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular