HomeIsu tempatanGrafiti cinta negara, tingkat teknik seni

Grafiti cinta negara, tingkat teknik seni

Read Time:1 Minute, 33 Second

Kota Kinabalu : Lukisan grafiti mampu menyerlahkan semangat kecintaan kepada negara dan meningkatkan teknik seni dalam kalangan pelajar.

Peserta Pertandingan Grafiti Negaraku 2023, Suvianah Maldam berasal dari Pitas berkata, kumpulannya Heartfealt Art menjadikan Jalur Gemilang sebagai tarikan utama karya, simbolik kepada tekad perpaduan.

“Ini merupakan kali pertama saya menghasilkan lukisan bersaiz besar dan kami dapat menambah ilmu pengetahuan dalam teknik-teknik seni yang mana akan dimanfaatkan semasa mengajar di sekolah nanti.

“Saya berharap semangat patriotisme dapat disemai setiap hari dalam kalangan rakan-rakan dan tidak semestinya menunggu Bulan Kebangsaan, semoga Malaysia terus maju jaya,” katanya ketika ditemui semasa pertandingan tersebut di Institut Perguruan Gaya (IPG), di sini.

Sependapat dengannya, Renny Felendra Jamaris berkata dengan perkongsian hasil seni grafiti bertemakan kenegaraan dalam media alternatif seperti tik tok dan instagram dapat meningkatkan semangat cintakan tanahair.

“Menerusi karya bertemakan Unity in Diversity ini, kami ingin memperkasakan perpaduan, agar segenap lapisan masyarakat tahu kita boleh bersatu padu dalam komuniti yang bervariasi,” ujar anak jati Kudat ini.

Pertandingan Grafiti Negaraku 2023 Sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia itu dianjurkan buat kali keempat oleh Jabatan Penerangan Sabah dengan objektif memberi peluang kepada para pelajar IPG menyerlahkan bakat seni, menunjukkan nilai patriotisme dan semangat Malaysia Madani.

Sementara itu, peserta berasal dari Johor, Muhammad Faiq Hafiy Muhammad Fauzan bersetuju dengan penggunaan aplikasi terkini sebagai medium menyemarakkan semangat kebangsaan kerana lebih banyak tarikan program seni dapat ditonjolkan.

Bagi anak jati Putatan, Nur Jairah Raji pula berpandangan pemasaran iklan, video dan drama pendek berunsurkan patriotisme harus diperbanyakkan dalam aplikasi yang lebih digemari anak-anak seawal usia.

Johan dimenangi kumpulan Ad Astra, dianggotai Nur Jairah dan Nur Iffah Wajihah manakala Heartfealt Art (Suvianah dan Emerintina Tony) di tempat kedua sementara ketiga dimenangi kumpulan Celestial Gravity (Renny Felendra James dan Ashelly Ailee Hendry).

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

96 kakitangan KYS sertai ceramah keselamatan jalan raya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular