HomeIsu tempatanLebih 2,800 pengunjung meriahkan Program Sahabat Maritim LD

Lebih 2,800 pengunjung meriahkan Program Sahabat Maritim LD

Read Time:1 Minute, 57 Second

Kunak : Lebih 2,800 pengunjung yang terdiri daripada pelbagai golongan sasar di daerah ini hadir memeriahkan Program Sahabat Maritim Peringkat Zon Lahad Datu yang diadakan selama tiga hari berakhir semalam.

Program anjuran Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Lahad Datu itu telah diadakan di Padang Pekan Kunak bermula 18 Ogos lalu selain turut disertai lebih 50 buah agensi Kerajaan dan swasta.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, program yang mendapat kerjasama penuh Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) melalui Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) ini bermatlamat untuk merapatkan jaringan kerjasama antara Maritim Malaysia bersama agensi-agensi kerajaan dan komuniti di daerah berkenaan.

Katanya, program itu juga adalah bagi memberi kesedaran tentang keselamatan dan kepentingan menjaga ekosistem di laut selain mempromosikan peranan dan tugas Maritim Malaysia dalam melaksanakan tugas penguatkuasaan.

“Bagi pihak Maritim Malaysia, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PMS yang sudi bekerjasama dengan Zon Maritim Lahad Datu bagi menjayakan program Sahabat Maritim Peringkat Zon Lahad Datu pada kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Sahabat Maritim Peringkat Zon Lahad Datu di sini semalam yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Norazlinah Arif

Bertema ‘Komuniti Prihatin, Maritim Sejahtera’, program ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti pameran serta khidmat nasihat oleh agensi-agensi yang terlibat, gotong-royong di Sekolah Kebangsaan Kunak 1, sukan rakyat, senamrobik, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, taklimat keselamatan di laut dan cabutan bertuah.

Bersempena program berkenaan, Zon Maritim Lahad Datu turut mengambil peluang menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini dengan mengadakan tayang wayang pacak filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang.

Tayangan itu antara lain adalah bagi menyuntik semangat patriotik masyarakat setempat selain sebagai salah satu usaha untuk mengenali lebih dekat tentang fungsi dan tanggungjawab yang dipikul oleh Maritim Malaysia.

Program tahunan yang diadakan itu juga dilihat mampu memberi ruang kepada penduduk setempat untuk menjadi mata dan telinga Maritim Malaysia melalui perkongsian maklumat dan isu-isu penting dalam usaha memastikan kawasan perairan negara bebas daripada ancaman keselamatan jenayah rentas sempadan khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).

Zon Maritim Lahad Datu turut memohon kepada orang ramai khususnya komuniti maritim untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat ataupun aduan berkaitan aktiviti yang mencurigakan di laut kepada Zon Maritim Lahad Datu yang beroperasi 24 jam di talian 089-885727 atau di talian MERS 999. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

96 kakitangan KYS sertai ceramah keselamatan jalan raya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular