HomePolitikPerkukuh perpaduan, elakkan perpecahan

Perkukuh perpaduan, elakkan perpecahan

Read Time:1 Minute, 32 Second

Papar : Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mahu para ahlinya memperkukuh kesatuan dan mengelak amalan berpuak-puak bagi memastikan parti itu terus menunjangi pemerintahan kerajaan di negeri ini.

Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kawang, Datuk Seri Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata, kesatuan dan perpaduan penting bagi menangkis sebarang cubaan anasir luar memecahbelahkan parti.

“Kita harus bekerja sebagai satu pasukan yang jitu, dan bukan berpuak dalam kumpulan, supaya kita dapat menolak segala anasir yang cuba memecahbelahkan kesatuan kita.

“Seperti kata pepatah yang mengatakan, kita hendaklah bersatu dalam perkara yang kita sepakati dan bermusyawarah dalam perkara yang kita selisihi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Cawangan Gagasan Rakyat Bahagian Kawang, di sini semalam.

Ghulam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang turut meminta supaya gerak kerja dalam parti terus diperkukuh bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Katanya, walaupun kerajaan negeri hari ini masih ada lebih dua tahun memerintah, namun jentera parti khususnya Gagasan Rakyat tidak boleh leka dan lalai.

“Kita kena terus bekerja, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen besar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan elak perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan sesama kita,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya mengambil iktibar daripada beberapa peristiwa politik di Sabah awal tahun ini.

“Kita mesti perkukuhkan jati diri dan semangat lokal kita. Jangan kita tersilap sehingga berpecah belah.

“Sabah ini negeri kita, ini rumah kita. Kita jaga rumah ini bersama-sama. Kepentingan rakyat sentiasa didahulukan. Inilah perjuangan Gagasan Rakyat dan GRS,” katanya.

Beliau berkata Gagasan Rakyat ditubuh berdasarkan perubahan sentimen di peringkat akar umbi di mana rata-rata rakyat Sabah mahukan parti tempatan bersifat lokal, untuk menerajui kerajaan negeri. 

“Kita berada di sini adalah sebagai memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat terbanyak.

“Mari kita suburkan semangat juang, mantapkan jentera parti, demi memastikan  Gagasan Rakyat terus releven untuk rakyat  negeri Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Politik

Jentera wanita Gagasan Rakyat perlu jadi mata, telinga kerajaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular