Liga Super : Sabah FC mudah tewaskan NSFC

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 34 Second

Kota Kinabalu : Sabah FC meneruskan rentak kemenangan selepas berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-1 dalam aksi saingan Liga Super di Stadium Likas di sini malam ini.

Sang Badak terlebih dahulu mengatur serangan ke gawang lawan bagi mendapatkan gol awal menerusi percubaan Park Taesu pada minit pertama namun dia lebih awal berada di kedudukan Offside.

Beberapa minit berselang, Saddil Ramdani hampir menghadiahkan gol pertama tuan rumah selepas menerima bola hantaran Gabriel Peres pada minit ke-6 bagaimanapun sepakannya tinggi melewati palang pasukan pelawan.

Babak pertama perlawanan menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee lebih banyak mengawal permainan dengan beberapa percubaan berbahaya ke gawang lawan.

Pemain import dari Brazil Ramon Machado berjaya menjaringkan gol pertama Sabah pada minit ke-13 selepas berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol NSFC Muhammad Firdus membolehkan Sabah mendahului 1-0.

Ramon sekali lagi berjaya meledak gol kedua Sabah pada minit ke-29 selepas Firdaus menolak keluar bola tandukan Darren Lok menjadikan kedudukan berubah 2-0.

Minit akhir babak pertama, pasukan pelawat hampir menjaringkan gol pertama menerusi tandukan Mohamad Hasbullah pada minit ke-44 selepas menerima bola hasil sepakan percuma namun tandukan itu berjaya ditangkap kemas oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Penyokong Sabah yang hadir lebih 7,000 ke Stadium Likas terus menarik nafas lega apabila skuad Badak itu berjaya menambah gol ketiga menerusi tandukan pemain import Miguel Cifuentes pada minit ke-45.

Tamat masa rehat, aksi perlawanan separuh masa kedua dihiasi dengan beberapa pergaduhan pemain selain kad kuning turut dilayangkan kepada pemain kedua-dua pasukan.

Minit-minit akhir perlawanan, NSFC akhirnya berjaya mendapatkan gol menerusi jaringan Hein Htee Aung pada minit ke-89 selepas berlaku kesilapan pemain pertahanan tuan rumah menjadikan kedudukan berubah 3-1.

Kedudukan 3-1 itu kekal sehingga tamat perlawanan menjadikan Sabah kekal ditangga keempat dengan mengutip 42 mata dan akan bertemu Kelantan FC di Stadium Mohammad IV pada 29 September depan. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *