HomeUtamaPenjara Lahad Datu mula beroperasi 1 Okt ini - Saifuddin Nasution

Penjara Lahad Datu mula beroperasi 1 Okt ini – Saifuddin Nasution

Read Time:1 Minute, 39 Second

BERNAMA

Lahad Datu:  Penjara baharu berkapasiti 1,000 banduan di sini dijangka mula beroperasi pada 1 Okt ini dalam usaha mengatasi kesesakan banduan di Penjara Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata Penjara Lahad Datu itu akan memulakan operasi dengan tempoh percubaan selama sebulan melibatkan 100 banduan dan akan ditingkatkan kepada 450 banduan selepas itu, sebelum beroperasi dengan kapasiti penuh dijadual Januari tahun depan.

“Kapasiti 1,000 tambahan ini sangat membantu melegakan buat Jabatan Penjara kerana kesesakan akan datang masalah seperti jangkitan penyakit dan keadaan tidak kondusif memberikan tekanan kepada penghuni, yang boleh berakhir dengan kejadian bunuh diri, cubaan melarikan diri atau pergaduhan.

“Jadi, sebagai sebuah kerajaan, khususnya kerajaan MADANI yang mengamalkan pendekatan ihsan ini, terjemahannya mesti dilihat, sekalipun terhadap penghuni penjara iaitu dengan menambahkan ruang supaya mereka tidak bersesak,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau dan  Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyaksikan penyerahan Penjara Lahad Datu daripada Kementerian Kerja Raya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Mengenai pendekatan mengatasi kesesakan penghuni penjara, Saifuddin berkata kementeriannya melalui Jabatan Penjara melaksanakan dua lagi cara iaitu melalui perintah parol dan perintah kehadiran wajib iaitu melaporkan diri di balai polis.

Beliau berkata Jabatan Penjara juga dalam proses ke arah melaksanakan pembebasan berlesen melibatkan penahanan di rumah.

Sementara itu, Nanta memberitahu Penjara Lahad Datu, yang mula dibina pada 2017, berjaya disiapkan melalui kaedah reka dan bina dengan kos RM176 juta berbanding RM200 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Dalam pada itu, ditanya tentang perkembangan projek Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah, beliau berkata kementeriannya berharap baki daripada 35 pakej kerja dapat dimulakan secepat mungkin setelah lantikan kontraktor diselesaikan pada penghujung tahun ini.

“Kami nak percepatkan pembinaan Pan Borneo Sabah ini yang masih banyak lagi pakej belum bermula,” katanya.

Pembinaan fasa pertama projek itu melibatkan 15 pakej kerja, kini siap 82 peratus dan dijadual siap sepenuhnya pada Januari tahun depan. –  BERNAMA / FOTO PEJABAT MENTERI KKR

RELATED ARTICLES
Utama

11 rumah musnah di Membakut dibina semula dibawah inisiatif RIM

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular