HomeUtamaUMS lokasi pertama pemasangan GSWMS di Malaysia

UMS lokasi pertama pemasangan GSWMS di Malaysia

Read Time:2 Minute, 2 Second

Kota Kinabalu : Universiti Malaysia Sabah (UMS) dipilih sebagai lokasi pertama pemasangan Sistem Pemantau Air Spektrum Gamma (GSWMS) bagi memantau tahap radioaktif air laut di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, pemilihan lokasi itu adalah berikutan kedudukannya yang strategik  di Laut China Selatan selain menghadap negara China, Taiwan dan Jepun.

Katanya, pemasangan alat yang berharga RM600,000 itu mula dipasang pada Jun lalu sekaligus membolehkan peralatan itu diguanakan untuk memantau situasi semasa air laut berikutan pelepasan air radioaktif yang dirawat daripada loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik oleh Jepun, baru-baru ini.

“Hari ini kita datang ke jeti UMS bagi melihat sendiri GSWMS yang dipasang dimana ini adalah satu-satunya peralatan yang kita pasang di Malaysia dan kita berhasrat untuk memasang empat lagi alat sama di beberapa tempat termasuk Langkawi, Johor, Pahang dan Sandakan.

“Peralatan ini juga adalah untuk kita memantau tahap radioaktif air laut selain pelepasan air radioaktif yang dirawat daripada loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik oleh Jepun, baru-baru ini.

“Mungkin ramai yang bimbang tentang tahap radioaktif laut kita berikutan perkara itu dan itu sebabnya kita pasang alat ini di perairan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke stesen GSWMS di Institusi Penyelidikan Marin Borneo UMS di sini hari ini.

Lih Kang turut menyeru orang ramai agar tidak bimbang dengan situasi yang berlaku kerana tahap radioaktif air laut akan dapat dikesan lebih cepat menerusi pemasangan alat berkenaan.

Khamis lalu, Jepun dilaporkan mula melepaskan air radioaktif yang dirawat daripada loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat dan sekatan import makanan laut oleh China, Korea Utara dan Hong Kong.

Laporan oleh Reuters berkata, kumpulan nelayan Jepun sendiri mengakui mereka bimbang pelepasan air itu akan mendorong kepada kemusnahan reputasi sektor makanan laut negara itu.

Bagaimanapun, di sebalik pelbagai bantahan itu, Jepun kekal dengan pendiriannya dan menyifatkan tindakan melepaskan air adalah selamat.

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Julai lalu menyatakan ia mematuhi piawaian antarabangsa, selain menjelaskan kesannya terhadap manusia dan alam sekitar adalah ‘sedikit’.

Jepun berkata, kebanyakan unsur radioaktif daripada air berkenaan akan dikeluarkan, kecuali tritium, isotop hidrogen yang perlu dicairkan kerana unsur berkenaan sukar untuk ditapis.

Operator loji janakuasa Fukushima, Tepco, Selasa lalu berkata, air itu asalnya akan dilepaskan dalam kuantiti lebih kecil berserta pemeriksaan tambahan dengan fasa pertama membabitkan 7,800 meter padu, untuk kira-kira 17 hari. – SABAH MEDIA / FOTO UMS

RELATED ARTICLES
Utama

Mahkamah Rayuan Terima Pemohonan Pendakwaan, Bung Moktar dan Isteri Diarah Bela...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular