KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pada malam Selasa adalah disebabkan masalah teknikal dalaman pihak KKIA.
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Sabah Electricity Sdn Bhd, Ir. Idris Mohd Noor berkata, tiada sebarang masalah atau gangguan pada sistem bekalan elektrik dari pencawang elektrik milik SESB yang membekalkan elektrik ke KKIA pada hari kejadian.
SESB menerima aduan mengenai gangguan bekalan yang berlaku di KKIA pada 29 Ogos 2023 jam 9.38 malam dan pemeriksaan segera mendapati punca bekalan elektrik di Pencawang Pembahagian Utama KKIA adalah normal.
“Pengesahan telah dibuat dengan pihak Pengurusan Bangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan dimaklumkan bahawa kerosakan tersebut adalah berpunca dari kerosakan pendawaian dalaman bangunan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.