HomeIsu tempatanMalaysia hantar nota bantahan kepada China berkaitan isu Peta Standard China 2023

Malaysia hantar nota bantahan kepada China berkaitan isu Peta Standard China 2023

Read Time:1 Minute, 25 Second

BERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia akan menghantar nota bantahan kepada China susulan tuntutan negara berkenaan di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023′, yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata nota bantahan itu adalah tindakan lanjut yang akan dibuat selain menegaskan perkara itu menjadi amalan Malaysia dalam sebarang pertikaian.

“Wisma Putra sudah mengeluarkan kenyataan (semalam) dan amalan kita, kita akan buat nota bantahan itu kerana itu sudah menjadi amalan kita.

“Jadi, berdasarkan kenyataan yang sudah kita buat, kita akan ambil tindakan seterusnya termasuk menghantar nota bantahan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Hari Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Wisma Putra menerusi kenyataan semalam memaklumkan, Malaysia tidak mengiktiraf tuntutan China di Laut China Selatan seperti digariskan dalam ‘Peta Standard China Edisi 2023’, yang meliputi kawasan maritim Malaysia.

Jelasnya, Peta Standard China Edisi 2023 itu yang menunjukkan tuntutan maritim sepihak China dan melangkau kawasan maritim Malaysia di Sabah dan Sarawak, sama sekali tidak mengikat Malaysia.

Malaysia kekal dengan pendiriannya dalam isu tuntutan dan persempadanan maritim di Laut China Selatan, yang secara konsisten menolak tuntutan kedaulatan, hak kedaulatan dan bidang kuasa mana-mana pihak asing ke atas fitur maritim atau kawasan maritim negara berdasarkan Peta Baru Malaysia 1979.

Ditanya bila Malaysia akan menghantar nota bantahan itu, Zambry sekadar berkata, Malaysia akan berbuat demikian.

Semalam, media melaporkan Kementerian Sumber Asli China menerbitkan Peta Standard China Edisi 2023 yang meliputi sebahagian besar perairan Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak.

Peta itu antara lain menggabungkan kawasan yang menjadi pertikaian khususnya membabitkan kawasan Arunachal Pradesh, wilayah Aksai Chin, Taiwan dan Laut China Selatan.

Ia turut membabitkan kawasan maritim zon ekonomi eksklusif (EEZ) Malaysia berhampiran Sabah dan Sarawak, Brunei, Filipina, Indonesia dan Vietnam.

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular